top of page
muinsapidin

Wakil Rakyat Punya Tanggungjawab Bantu PDK


Saripah bermesra dengan adik Sapia, salah seorang kanak-kanak yang ditempatkan di PDK Raflesia, Gerik yang beliau rasmikan hari ini.

GERIK - Wakil rakyat diingatkan supaya tidak lupa memantau perkembangan Pusat Dalam Komuniti (PDK) di kawasan masing-masing terutama yang dalam keadaan daif dan memerlukan perhatian.

Isteri Menteri Besar, Isteri Menteri Besar, Datin Seri Saripah Zulkifli yang juga Yang DiPertua Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil Rakyat (BAIDURI) berkata pemantauan berterusan oleh wakil rakyat dapat memastikan pembangunan melibatkan PDK di negeri ini lebih positif dan berkesan.

Menurutnya, terdapat wakil rakyat yang langsung tidak pernah menjejakkan kaki atau menjenguk ke PDK di kawasan mereka walaupun hanya terdapat beberapa buah sahaja di daerah itu.

Katanya kegagalan mereka melaksanakan tanggungjawab itu boleh menyebabkan sesebuah PDK itu terus berada dalam keadaan terpinggir seterusnya menafikan golongan kelainan upaya (OKU) akan kemudahan latihan yang selesa.

“Jawatan sebagai wakil rakyat menuntut mereka melaksanakan tanggungjawab membantu setiap lapisan masyarakat termasuklah OKU. Sekiranya mereka gagal, ia menjadi satu dosa besar…jawablah mereka dengan Tuhan,” katanya ketika berucap merasmikan PDK Raflesia Gerik di sini, hari ini.

Saripah menandatangani papan tanda perasmian berucap PDK Raflesia Gerik hari ini.

Perasmian PDK itu adalah sebahagian daripada 137 program bersempena Pemukiman Menteri Besar di Daerah Hulu Perak bermula 23 hingga 27 Mac.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Rusnah Kassim, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Rosmawati Ishak dan isteri wakil-wakil rakyat yang juga ahli BAIDURI.

Pada majlis itu, Saripah menyerahkan sumbangan BAIDURI kepada tiga PDK – PDK Lenggong, PDK Lawin di Felda Lawin Selatan dan PDK Raflesia, Gerik.

Sementara itu, Rusnah berkata kesemua 39 PDK di negeri ini bakal menerima peruntukan sebanyak RM5,000 daripada kerajaan negeri tidak lama lagi.

Katanya peruntukan itu bertujuan membantu PDK melaksanakan program latihan kepada pelatih mereka yang merupakan golongan OKU.

“Peruntukan ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri mendaya upayakan golonga OKU di negeri ini supaya mereka boleh menjadi masyarakat yang boleh berdikari,” katanya.

Sebelum itu, Saripah dan rombongan BAIDURI telah menziarahi PDK Lenggong dan PDK Lawin untuk beramah mesra dan mengikuti perkembangan PDK di daerah Hulu Perak.

Semasa lawatannya ke PDK Lenggong, Saripah meminta supaya kerajaan negeri membantu pusat itu mendapat premis baru tempat di mana ianya beroperasi ketika ini tidak lagi kondusif untuk OKU menjalankan latihan mereka.


10 views0 comments
bottom of page