Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memberi jaminan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap membela komuniti Cina di negeri ini meskipun terdapat dakwaan kononnya mereka tidak menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya lalu.
Menurut Dr Zambry, beliau tidak ambil peduli tentang dakwaan itu, malah sebagai Menteri Besar, beliau akan terus menunaikan tanggungjawabnya untuk membela komuniti Cina di negeri ini.
``Sebagai Menteri Besar yang dipilih, saya memberi jaminan akan terus membela komuniti Cina sepertimana komuniti Melayu, India serta lain-lain kaum di negeri ini,’’ katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Bersama Komuniti Cina Sempena Tahun Baru Cina 2016 di Dewan Hokien, Gerik pada Rabu.
Hadir sama Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman dan mantan Menteri Besar Perak, Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali.
Sehubungan dengan itu, Dr Zambry meminta komuniti Cina supaya tidak termakan fitnah dan dakwaan palsu yang dilemparkan pihak tertentu yang berniat jahat supaya rakyat membenci kerajaan.
Katanya, program pemukiman selama lima hari yang adakan di Hulu Perak jelas membuktikan betapa kerajaan BN komited dan sentiasa membela nasib rakyat tanpa mengira kaum perbezaan politik.
Menurut beliau, menerusi program pemukiman itu segala permasalahan rakyat akan dapat dikenalpasti dan diambil tindakan penyelesaian.