Kepimpinan Barisan Nasional (BN) mesti bersatu untuk menghadapi serangan bertali arus pembangkang yang hanya mahu menimbulkan persepsi di kalangan rakyat.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pembangkang tidak peduli samada tuduhan mereka betul atau tidak.
Sebaliknya, kata beliau, mereka hanya mahu menimbulkan persepsi sehingga ada kalangan rakyat yang percaya.
Beliau memberi contoh di Perak, selepas MB Inc, pembangkang cuba menyerang Yayasan Bina Upaya (YBU) yang telah banyak membantu rakyat.
"Mereka mahu menggambarkan kononnya berlaku satu penyelewengan yang besar di dalam YBU," katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam bersama kepimpinan BN Parlimen Gerik dan Lenggong di Dewan Serbaguna Gerik pada Rabu malam.
Hadir sama Presiden Kelab Veteran UMNO Malaysia, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali yang juga mantan Menteri Besar Perak.
Dr Zambry berkata, walaupun pelbagai asakan dan desakan diberikan pembangkang tetapi pada hakikatnya, mereka tetap bercakaran sesama sendiri.
"Apapun mereka kata terhadap kita, tetapi telah terbukti BN adalah yang terbaik di Malaysia, janganlah hendaknya kita berbalah sesama sendiri," ujarnya.