Lebih 5,000 peluang pekerjaan ditawarkan dalam pelbagai bidang dan industri pada Karnival Pendidikan Tinggi dan Kerjaya sempena program Pemukiman Daerah Hulu Perak pada Sabtu ini.
Karnival sehari itu yang diadakan di atas inisiatif kerajaan negeri Perak dengan kerjasama Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA) akan berlangsung di landasan kappal terbang Gerik dari jam 8 pagi sehingga 4 petang.
Penolong Pengurus, Bahagian Komunikasi Korporat PeKA, Zul Iskandar Shah Osman berkata, karnival itu akan disertai oleh 20 pihak majikan serta 10 Institusi Kemahiran/IPT.
“Antara syarikat yang akan hadir ialah Sime Darby Plantation Sdn Bhd, Honda, Tan Chong Motor, Finisar (M) Sdn Bhd dan banyak lagi,” katanya dalam satu kenyataan di Gerik pada Khamis.
Menurut beliau, Menteri Besar, Datuk Seri Dr.Zambry Abd Kadir akan merasmikan karnival itu yang turut dihadiri oleh beberapa Exco kerajaan negeri, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.
Zul Iskandar Shah berkata, antara pengisian karnival itu ialah pemadanan kerja, temuduga terbuka, ceramah bertajuk ‘Hala Tuju Kerjaya’ oleh Ikon Skuad Inspirasi Kolej Komuniti, Datuk Fazley Yaakob dan pendaftaran secara on-line.
Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti telah diatur sepanjang karnival itu, antaranya pameran daripada agensi kerajaan negeri, Fit Perak, sukan tradisional dan pelbagai lagi.