GERIK - Program Pemukiman Daerah Menteri Besar Perak hari ini dimulakan dengan program sarapan bersama penduduk Kg. Bersia di Dewan Orang Ramai Kg. Bersia Lama, Temengor.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dalam ucapan ringkasnya berkata, pemukiman selama lima hari itu adalah satu lagi pendekatan baru yang dilakukan kerajaan negeri dalam usaha berterusan mendampingi rakyat. Menurutnya, jika sebelum ini, beliau dan barisan pentadbirannya bermalam satu atau dua hari di sesuatu kawasan, tetapi kali ini program yang dilakukan lebih khusus dan tersusun agar proses 'engagement' dengan rakyat akan lebih berkesan. ``Program Pemukiman Daerah yang berlangsung hingga sabtu ini adalah julung-julung kali diadakan. Program ini bukan sahaja program Menteri Besar malah melibatkan semua Exco dan Adun-Adun setempat serta Pegawai-Pegawai Kerajaan.
``Bukan sahaja di Hulu Perak, tetapi juga tempat-tempat lain. Dengan cara ini, kita dapat turun bersama rakyat, lihat dan mendengar masalah rakyat dan mencari jalan untuk selesaikan masalah mereka,'' katanya. Selepas program sarapan, Menteri Besar kemudiannya bergerak ke Tasik Banding untuk meneruskan beberapa program termasuk ramah mesra bersama para pelancong sebelum menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.