top of page
  • muinsapidin

Rakyat perlu didampingi, didengari

Nama: YB Maslin Sham Razman

Asal: Kampung Talang Masjid, Kuala Kangsar

Umur: 45 tahun

Isteri: Faridah Kamaruddin, 40.

Anak: Tiga orang.

Pendidikan:

- Sekolah Kebangsaan Lekir, Batu 10,

- Sekolah Rendah Kebangsaan Taiping

- Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Methodist Air Tawar

- Sekolah Menengah Ambrose

- Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan ACS, Sitiawan

- Diploma Bidang Pengajian Perniagaan di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pembabitan Politik:

- Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Talang Masjid (1998),

- Exco Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kangsar (2001).

- Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kangsar (2004)

- Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kangsar (2008)

- Ketua Pemuda UMNO Perak (2009 - 2013)

- Exco Pemuda UMNO Malaysia (2011 - 2013)

Jawatan sekarang:

- Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar

- ADUN Kawasan Bukit Chandan.

Penduduk Juga Selalu Mahu Didampingi, Masalah Didengari - Mazlin Sham

Pastikan bantuan sampai kepada rakyat

SEPANJANG hampir satu jam perbualan kami, topik banyak tertumpu dalam soal masa depan rakyat. Dari soal pembangunan minda orang muda, sosio-ekonomi rakyat, henjutan teknologi teknologi maklumat (IT) sehinggalah kepada isu pembangunan infrastruktur - semuanya bagi beliau, perlu menjawab mengambil kira kerangka masa depan rakyat.

Bagi ADUN Bukit Chandan, YB Maslin Sham Razman, apa juga perancangan yang mahu dilakukan oleh kerajaan, ia perlu mengambil kira sejauhmana ia dapat memberi manfaat terus kepada rakyat

``Dalam soal ini, saya fikir kita perlu selalu berdamping dengan rakyat. Hanya dengan cara itu, kita cepat faham apa kehendak dan keperluan mereka. Apa jua inisiatif atau bantuan yang diberikan, biarlah ia sampai dan memberi manfaat kepada mereka. Itu paling penting,’’ katanya ketika ditemui Suara Perak baru-baru ini.

Maslim Sham berpandangan, dinamika politik sudah berubah dan ia turut menuntut pendekatan berbeza daripada wakil rakyat termasuklah dalam soal penyelesaikan masalah rakyat.

Beliau memberi contoh, pemberian bantuan dalam satu majlis tertentu mungkin masih relevan, tetapi hubungan erat antara rakyat dan wakil rakyat akan menjadi lebih harmoni jika bantuan berkenaan dihantar terus ke rumah mereka.

Mazlin Sham berkata, mungkin atas sebab itulah, beliau dan rakan-rakan seperjuangan di Bukit Chandan mudah mengenali dan mendekati penduduk setempat.

“Macam saya sendiri, orang sini (Bukit Chandan) biasanya memanggil saya Sham sahaja kerana sudah mesra sejak awal lagi semasa saya menjadi Ketua Pemuda UMNO Perak.

“Selain itu kerana saya datang dari kilang Pemuda pada peringkat awal penglibatan dalam politik, maka saya dilihat lebih rapat lagi dengan golongan muda,” ujarnya.

Menurut Maslin, pengalamannya selama hampir 25 tahun dalam dunia politik menyebabkan beliau sentiasa insaf dan lebih mendekatkan dirinya kepada penduduk di Bukit Chandan bagi menyelesaikan permasalahan yang dibawa oleh mereka kepadanya.

Katanya, memandangkan Pusat Khidmatnya dibuka di tengah-tengah Bandar Diraja Kuala Kangsar, maka beliau sentiasa berada di pejabatnya untuk menerima sebarang aduan berhubung masalah yang dibawa oleh rakyat bukan sahaja di kawasan desa malah di dalam bandar.

“Kerana Pusat Khidmat saya berada di dalam bandar, maka saya sentiasa berada di pejabat untuk menerima aduan rakyat daripada pelbagai kaum dalam kawasan DUN Bukit Chandan,” ujarnya.

Namun begitu, katanya, itu tidak bermakna beliau mengabaikan nasib penduduk di kawasan luar bandar, malah sentiasa turun ke bawah mendekati rakyat di mukim-mukim dan kampung menerusi program bantuan rakyat.

“Saya sendiri akan mempastikan bahawa bantuan kecemasan kepada rakyat miskin dan yang memerlukan pertolongan disampaikan ke tangga rumah mereka selain program seumpama itu yang diadakan di dewan-dewan orang ramai di peringkat mukim,” katanya.

Isu Pembangunan Jadi Keutamaan

SEBAIK dipilih sebagai wakil rakyat, YB Maslim Sham Razman mahu membalas kepercayaan rakyat dengan menyelesaikan segera isu-isu pembangunan yang cukup dekat dengan rakyat.

Antara langkah awal yang dilakukan beliau ialah memastikan projek menaik taraf empat jambatan sempit yang sekian lama menjadi rungutan penduduk, dapat direalisasikan secepat mungkin.

Menurut Maslin, di kawasan laluan Bekor ke Sayong, terdapat empat buah jambatan kecil dan sempit yang perlu dinaik taraf segera memandangkan kekerapan berlakunya kejadian kemalangan jalan raya.

Katanya, peruntukan RM2 juta telah disediakan pada tahun ini untuk melebarkan satu daripada empat jambatan sempit berkenaan manakala baki tiga lagi jambatan sedang dalam proses untuk mendapatkan peruntukan.

“Yang pentingnya, pengguna jalanraya selesa dan selamat apabila jambatan ini dinaik taraf nanti,” ujarnya.

Maslin juga berkata, pihaknya sedang berusaha untuk menaik taraf beberapa buah masjid lama berusia lebih 100 tahun untuk memberi kemudahan lebih selesa kepada penduduk kampung untuk beramal di masjid.

Selain itu, katanya lagi, pihaknya sedang mengenal pasti satu kawasan luar bandar dalam DUN Bukit Chandan sebagai kawasan pekan kecil di bawah program pembangunan pekan kecil untuk kemudahan dan kegiatan ekonomi penduduk luar bandar.

Maslin memberitahu, pihaknya sedang dalam perancangan untuk mewujudkan pusat internet 1Malaysia di Kampung Kubang Pekan bagi memberi kemudahan internet kepada penduduk sekitar kampung berkenaan.

“Pusat kemudahan internet ini dijangka mampu memberi perkhidmatan kepada empat buah kampung lagi dengan liputan wifi percuma,” tambahnya.

Selain, kata beliau, pihaknya juga sedang berusaha untuk menarik lebih ramai pelawat dan mengunjung ke Bandar Diraja Kuala Kangsar dengan menambah bilik-bilik penginapan hotel-hotel dan hotel bajet yang terdapat di bandar berkenaan.

Menurutnya, untuk itu sebuah lagi hotel bertaraf tiga bintang bakal didirikan di Kuala Kangsar untuk menampung peningkatan pengunjung dan pelancong.

“Dengan penambahan bilik-bilik hotel ini, kita berharap ramai pelawat dan pelancong yang datang akan bermalam sehari dua di bandar ini sambil membeli-belah dan melawat ke beberapa kawasan menarik yang terdapat di sini seperti Galeri Sultan Azan Shah, Masjid Ubudiah dan Ulu Kenas,” katanya.

Mengenai pusat khidmat, wakil rakyat itu memberitahu, ia dibuka setiap Isnin hingga Jumat dari pukul 9 pagi hingga 5 petang dengan menyediakan kaunter khas dan ruang menunggu kepada penduduk kampung dan bandar untuk berurusan. - Suara Perak


48 views0 comments
bottom of page