top of page
  • muinsapidin

Warung Kopi Tempat ‘Cikgu Di’ Dengar Luahan Rakyat

Orangnya peramah dan mudah didekati, wajahnya pula tidak pernah lekang dengan senyuman. Orang yang dimaksudkan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, YB Zainun Mat Noor yang lebih mesra dengan panggilan `Cikgu Di’ kalangan penduduk kawasan DUN Chenderoh.

Pengalaman mengajar di beberapa buah sekolah rendah di sekitar perkampungan Kati pada awal 80-an banyak memberikan pengalaman tentang kehidupan dan kemahuan sebenar penduduk di kawasan DUN berkenaan.

Prinsip yang dipegang Zainun amat mudah-tiada istilah `protokol’ dalam agenda perjuangannya untuk membela nasib dan masa depan rakyat khususnya penduduk di kawasan yang beliau wakili.

Baginya, tanggungjawab dan amanah yang digalas sebagai wakil rakyat perlu dilaksanakan sebaiknya tanpa mengharapkan balasan.

“Jadi pemimpin dan wakil rakyat bukan untuk kesenangan dan kemewahan, bila saya diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat di kawasan ini, fokus utama saya adalah untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Kita bekerja biar ikhlas untuk bantu masyarakat, bila kita dapat bantu mereka secara tidak langsung hati kita rasa seronok sebab dapat ringankan beban yang mereka tanggung,” katanya kepada Suara Perak.

Pernah menjadi penolong kanan di beberapa buah sekolah membuatkan beliau tekad untuk pergi lebih jauh dan membantu mereka yang memerlukan.

Selain itu, pengalaman tujuh tahun menjadi Setiausaha Sulit kepada Menteri Pelancongan, Dato’ Seri Nazri Aziz yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas mendekatkan lagi beliau untuk menyelami permasalahan dan kemahuan rakyat terutama yang tinggal di pedalaman.

“Sewaktu jadi guru dahulu, saya cuma fokuskan untuk mengajar sahaja, tetapi lama kelamaan apabila sudah pegang jawatan lain seperti menjadi Setiausaha Sulit, baru pandangan saya lebih meluas kepada apa masalah yang rakyat hadapi,” ujarnya.

Zainun paling mesra dan rapat dengan masyarakat kampung kerana mudah ditemui bukan sahaja di warung-warung kopi bersantai bersama penduduk, malah ketika beliau turun ke kampung-kampung untuk menyelami masalah penduduk.

“Dulu semasa di peringkat awal menjadi pendidik, saya langsung tidak tahu menahu mengenai tugas dan tanggungjawab seorang wakil rakyat, tetapi setelah menjadi wakil rakyat, saya merasa insaf apabila melihat nasib masyarakat kampung terutama yang menetap di pedalaman yang amat memerlukan bantuan dan pertolongan kerajaan,” katanya.

Bagi memberi kemudahan kepada rakyat, beliau menubuhkan Pusat Khidmat ADUN di Pekan Kati yang dikendalikan oleh seorang pegawai Khas ADUN untuk menerima segala aduan dan permasalahan penduduk.

Katanya, pusat itu yang dibuka setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 9 pagi hingga 5 petang menyediakan kaunter khas dan ruang menunggu kepada penduduk kampung yang datang untuk membuat aduan.

Menurut Zainun lagi, beliau lebih memberikan khidmat nasihat kepada penduduk kampung terutama mereka yang ingin menceburi dalam bidang perniagaan dengan merujuk permohonan mereka kepada agensi yang berkenaan seperti Yayasan Bina Upaya dan TEKUN Nasional.

“Bagi pendidikan pula anak-anak kampung yang ingin mendapatkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi akan saya bawa permasalahan mereka kepada agensi berkenaan seperti Yayasan Perak,” tambahnya.

Di samping itu, beliau mengakui turut memberi bantuan kewangan, khususnya untuk keperluan sekolah bagi anak-anak yang kurang berkemampuan.

“Memang menjadi hasrat saya kalau boleh untuk menyelesaikan permasalahan rakyat dan setakat ini saya tidak menghadapi sebarang masalah dan semua masalah yang dibawa kepada saya dapat diselesaikan dengan baik.’’ katanya.


29 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page