top of page
muinsapidin

'Kita Mesti Faham Lenggok Rakyat'


Nama: YB Ahmad Hasbullah Haji Alias

Umur: 48

Asal: Kampung Paya, Batu Kurau

Isteri: Rashimah Binti Ahmad, 49.

Anak : Tujuh.

Pendidikan awal:

Sekolah Kebangsaan Toh Sajak, Batu Kurau (1973-1978)

Sekolah Menengah Dato’ Kamaruddin Batu Kurau ( 1979-1983)

Kerja dengan Perbadanan Niaga Felda (sekarang D’mart) 11 tahun di sekitar rancangan FELDA, Pahang. Jawatan terakhir Pengurus D’mart di Kuantan.

Pembabitan Politik.

Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Paya (1984)

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut 1986-1988)

Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Larut (1988-2001).

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Larut (2001-2008)

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri Perak (2004-2008)

Kita Mesti Faham Lenggok Rakyat

Rendah Diri, Selalu ‘Bercampur’ Dengan Rakyat Antara Resepi Ahmad Hasbullah

CARA wakil rakyat ini bekerja cukup ‘simple’. Istilah protokol adalah perkara yang paling cuba dielakkannya. Jarang sekali kelihatan pembantu mengiringinya ketika melawat rumah penduduk kampung. Beliau lebih selesa bertemu empat mata dengan rakyat.

“Sebagai pemimpin, kita perlu fikir di mana kita berpijak, seperti di kawasan saya ini rata-ratanya masyarakat kampung, pemikiran mereka berbeza, jadi kita kena patut ikut dan faham lenggok mereka,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, YB Ahmad Hasbullah Alias memulakan temubual bersama Suara Perak baru-baru ini.

Memahami realiti politik yang menyaksikan perpecahan ketara dalam masyarakat, Ahmad Hasbullah bertekad untuk memperbetulkan keadaan itu. Bagi beliau, hilangnya perpaduan, maka sesebuah masyarakat akan hilang nilai-nilai kasih sayang.

Justeru, sebaik sahaja dipilih menjadi wakil rakyat kawasan itu, beliau tidak jemu mencari jalan untuk menggerakkan apa jua program yang mampu mendorong penyatuan masyarakat setempat tanpa mengira fahaman politik.

“Sebab itu saya selalu tekankan prinsip merendah diri, bercampur dengan orang kampung dan tidak gunakan nama parti untuk menganjurkan program bersama masyarakat, itu perkara yang sangat saya titikberatkan sepanjang berkhidmat,’’ ujarnya.

Menurut Ahmad Hasbullah, antara yang menjadi fokus beliau sebaik menjadi wakil rakyat ialah menyelesaikan masalah 60 keluarga yang diberi peluang oleh kerajaan untuk menjadi peserta Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) di Redang Panjang.

Katanya, rancangan perumahan tersusun itu diberikan oleh kerajaan negeri kepada penduduk dalam DUN Kubu Gajah yang tidak mempunyai tanah.

Beliau berkata, sebelum ini, timbul masalah selepas mendapat tanah tersebut apabila rumah tidak dapat dibina kerana kawasan berkenaan tiada kemudahan infrastruktur asas seperti air, perparitan dan longkang yang tidak terurus.

Beliau menarik perhatian bagaimana kawasan perkampungan itu pernah menjadi perhatian, malah mendapat ulasan di dada akhbar apabila penduduk dilaporkan masih menggunakan air perigi, masalah jalan yang tidak selesa, dewan tidak ada dan perparitan yang tidak terurus.

``Oleh itu, sebaik jadi wakil rakyat, ini antara masalah penduduk yang saya ajukan kepada pengetahuan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk diambil perhatian.

``Alhamdullilah ia mendapat perhatian segera Menteri Besar yang mana peruntukan RM450,000 disalurkan bagi keperluan asas di kawasan RPT Redang Panjang diluluskan,” tambahnya.

Ahmad Hasbullah berkata, ketika ini semua keluarga terbabit dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa dengan adanya kemudahan yang disediakan kerajaan, termasuk sebuah dewan orang ramai bagi aktiviti komuniti dan kemasyarakatan.

Dikenali sebagai wakil rakyat yang datang dari keluarga berlatar belakang agama, Ahmad Hasbullah sedar amanah yang diberikan cukup berat, lebih-lebih lagi untuk membantu menyelesaikan masalah kemiskinan rakyat yang amat memerlukan pembelaan.

“Dalam DUN Kubu Gajah ini sebilangan besar penduduk merupakan golongan petani yang bergantung hidup kepada hasil pertanian dan ini bukan kawasan industri dan jauh daripada bandar.

“Kesusahan penduduk cukup ketara tetapi saya bersyukur kerana mendapat kerjasama yang cukup baik daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi bantuan bulanan kepada penduduk yang memerlukan,” katanya.

Turun padang program wajib

ADUN Kubu Gajah itu akan turun padang bersama-sama pegawai JKM dan Yayasan Bina Upaya (YBU) untuk menemui penduduk yang memerlukan selain membantu golongan yang memerlukan bantuan baik pulih rumah.

“Setakat ini, 15 buah rumah penduduk yang terlalu daif sudah dibaik pulih manakala 20 buah lagi yang sudah dikenal pasti akan juga dibaik pulih segera,” ujarnya.

Beliau turut mengalakkan penduduk khususnya golongan ibu tunggal untuk menceburi bidang perniagaan makanan, peruncitan dan kraftangan secara kecil-kecilan menerusi bantuan Tekun dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Setakat ini, lebih 500 orang penduduk sudah terbabit dalam perniagaan dan saya berharap bilangan ini akan terus bertambah sekaligus dapat membantu kerajaan dalam usaha membasmi kemiskinan di luar bandar,” katanya.

Mempromosi produk pelancongan

Dalam pada itu, kata ahmad Hasbullah, DUN Kubu Gajah turut mempunyai beberapa tempat menarik yang perlu diberi nilai tambah dalam pembangunan industri pelancongan di negeri Perak.

Contohnya, Lata Air Terjun Tebing Tinggi di Sungai Jernih iaitu Lata ketiga tertinggi di Asia Tenggara, perlu diberi tambah nilai seperti pembinaan calet-calet dan kemudahan jalan keluar masuk yang lebih selesa.

Beliau meminta kerajaan khususnya pihak Tourism Perak meneruskan program kenderaan lasak 4 X 4 di Felda Ijok yang telah terhenti kerana program berkenaan berjaya menarik ribuan peserta dalam dan luar negara.

Dalam menyediakan perkhidmatan kepada penduduk, Hasbullah juga membuka Pusat Khidmat ADUN di pekan Kubu Gajah yang mempunyai tiga orang kakitangan pada setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Selain pusat ini, saya juga banyak meluangkan masa bertemu penduduk pada majlis-majlis kenduri kahwin, kematian dan kariah-kariah masjid terutama yang melibatkan majlis keagamaan,” katanya


72 views0 comments
bottom of page