Beberapa taman perumahan sekitar Jalan Tun Razak di Ipoh pernah mengalami masalah banjir kilat yang teruk sekitar lewat 90-an apabila beberapa projek infrastruktur dilakukan secara giat.
Pada masa itu, penduduk terutamanya di Taman Cherry, Taman Damai dan Taman Idris sering berdepan banjir kilat terutamanya pada musim tengkujuh. Namun, masalah dapat diselesaikan apabila pihak Majlis Perbandaran Ipoh ketika itu melakukan penambahbaikan pada sistem saliran air.
Namun, penduduk kini berasa bimbang apabila masalah tersebut kembali menghantui malahan semakin menjadi-jadi kebelakangan ini apabila kerap berlaku hujan lebat.
Air pernah naik jika hujan lebat sehingga empat atau lima jam, namun rata-rata kawasan perumahan kami akan dinaiki air setiap kali hujan walaupun hanya satu atau dua jam. Kejadian seperti ini agak mengejutkan kerana ia sudah lama tidak berlaku.
Ia menyebabkan penduduk berasa resah setiap kali hujan kerana kawasan itu pasti akan digenangi air sehingga menyukarkan urusan seharian dan ada yang terpaksa memindahkan kenderaan ke tempat lebih tinggi pada waktu malam.
Sebenarnya, perkara ini mula membimbangkan kami apabila kawasan berjiran seperti sekitar Manjoi dinaiki air yang teruk dua tahun lalu dan tidak mustahil masalah sama akan merebak ke tempat lain.
Selain aktiviti pembangunan yang mungkin tidak dipantau dengan baik, sistem saliran sewajarnya dinaiktaraf dari semasa ke semasa memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu termasuk julat hujan yang luar biasa.
Isu ini patut menjadi perhatian memandangkan kita sedang memasuki penghujung tahun yang biasanya menyaksikan taburan hujan yang tinggi. Tentu kita masih ingat kejadian banjir besar yang turut melanda Perak pada penghujung tahun lalu.
Tentunya wujud keperluan supaya semua pihak berkuasa tempatan mengambil langkah awal supaya kejadian buruk seperti itu tidak berulang atau setidak-tidaknya tidak mendatangkan mudarat besar kepada penduduk jika ia berlaku.
Walaupun ada langkah proaktif diambil MBI sebelum ini termasuk pembinaan sistem perparitan beberapa tahun lepas, namun pemeriksaan di kawasan berisiko juga perlu diberi perhatian.
Dengan keadaan bangunan atau premis baru yang makin bertambah, sistem perparitan sedia ada dikhuatiri tidak mampu menampung air.
ROSMAIZAH ZAKARIA
Taman Cherry, Ipoh.