Tahun lalu kawasan Kampung Tersusun Seri Klebang dilanda banjir kilat yang agak serius. Ia saya sifatkan antara yang paling buruk dalam tempoh 10 tahun walaupun tidak seteruk banjir besar pada hujung 2014.
Namun, saya ingin bangkitkan mengenai sistem perparitan di kawasan berkenaan yang saya percaya menjadi faktor berlakunya banjir kilat. Saya tidak mahu menuding jari kepada pemaju yang sedang aktif membangunkan projek perumahan berhampiran, namun adakah semuanya mengikut garis panduan yang ditetapkan?
Bukanlah bermaksud bagi menghalang sebarang penempatan baru, sebaliknya ianya amat baik untuk perkembangan dan kepesatan setempat. Bagaimanapun, jika ianya tidak diurus dengan betul, akan menimbulkan masalah yang lain pula.
Kebetulan ada kawasan kami ini berdekatan dengan kawasan sedikit berbukit dan apabila hujan, ia akan membawa air tanah merah.
Keadaan cuaca juga tidak menentu. Pada kebiasaannya apabila hari hujan, air akan memasuki rumah. Bayangkanlah, bukan air biasa tapi air dari tanah merah dan betapa sukarnya untuk membersihkan rumah sekiranya air dari kawasan bukit tanah merah itu membanjiri rumah.
Pernah ada rumah yang dimasuki air pada ketika hujan lebat, hanya dalam satu atau dua jam. Bila hujan reda air akan surut tetapi dalam rumah penuh dengan lumpur tanah merah. Membasuh rumah dalam keadaan sedemikian bukan mudah, ada masanya mengambil masa berhari-hari.
Disebabkan oleh permasalahan yang dihadapi inilah, penduduk di sini tidak dapat tidur dengan lena kerana sentiasa merasa bimbang sekiranya hujan di waktu malam dan tidak sedar air memasuki kawasan rumah.
Ada penduduk yang menjadikan rumah sewa sebagai sumber pendapatan. Sekiranya masalah ini berlarutan, tidak mungkin akan ada penyewa yang mahu menyewa rumah yang sering dilanda banjir. Ini juga secara tidak langsung menjejaskan sumber pendapatan penduduk setempat.
Sebaik-sebaiknya bagi menyelesaikan permasalahan ini, kami penduduk di sini memohon pihak berwajib membaik pulih sistem perparitan yang sedia ada atau menambahnya sekiranya perlu bagi mengatasi masalah yang dihadapi.
Perkara ini bukan baru berlaku, malah pernah mendapat liputan media tidak lama dahulu. Kami bimbang, jika tiada langkah-langkah penyelesaian dibuat, keadaan banjir yang melanda akan menjadi lebih buruk.
MUHAMMAD GHAZALI SUFI
Klebang, Ipoh