Kami penduduk sekitar Sitiawan dan Ayer Tawar mula tertakan dengan masalah talian Internet dan telefon yang kerap terputus hingga tiga kali sebulan berikutan kecurian kabel Telekom Malaysia (TM) yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
Perkara ini sudah diajukan kepada pihak TM sendiri dan kami difahamkan laporan polis juga pernah dibuat memandangkan masalah tersebut telah mendatangkan pelbagai kesulitan kepada penduduk.
Apabila ia kerap berlaku, ada kemungkinan kegiatan tidak bertanggungjawab itu dilakukan pihak yang sama dan tidak mustahil ia didalangi sindiket mengaut keuntungan dengan menjual kabel yang dicuri.
Setiap kali berlaku kecurian, pihak TM telah datang untuk membaiki atau menggantikan kabel yang dicuri, tetapi kegiatan itu terus berulang seolah-olah pihak bertanggungjawab begitu bebas melakukan jenayah.
Kegiatan mencuri kabel berkenaan menyebabkan pengguna marah kerana mereka terpaksa membayar untuk menggunakan perkhidmatan demi melancarkan kehidupan seharian termasuk tujuan berniaga.
Disebabkan kejadian tersebut, ada kawasan yang tidak mempunyai talian Internet selama berminggu lamanya.
Kegiatan tersebut juga tentunya menjejaskan kehidupan pelajar universiti, ahli perniagaan dan pekerja luar pantai yang memerlukan talian Internet untuk menelaah pelajaran atau membuat kerja.
Mengikut maklumat yang diterima penduduk, kegiatan tersebut sering berlaku pada cuti musim perayaan dan bahan itu dipercayai dibawa keluar dari Perak untuk dijual di tempat lain.
Penduduk juga pernah melihat penjenayah terbabit begitu berani memanjat tiang kabel tanpa sebarang perlindungan keselamatan.
Sehubungan itu, kami berharap pihak berkuasa terutamanya polis dapat melakukan sesuatu termasuk membuat rondaan lebih kerap di sekitar kawasan yang sering menjadi perhatian pencuri kabel.
Langkah lebih tegas mesti diambil kerana ia bukan sahaja menyusahkan orang ramai, malah mendatangkan kerugian besar kepada TM selaku penyedia perkhidmatan.
K.S Subra
Taman Sejati, Sitiawan.