GAMBAR: Dr Zambry menerima anugerah yang disampaikan oleh Naib Canselor Asian University Of Bangladesh, Prof. Abul Hasan dalam satu majlis khas di kampus universiti berkenaan baru-baru ini.
IPOH - Usaha kerajaan negeri Perak melaksanakan program pembasmian kemiskinan sekali lagi mendapat perhatian dan pengiktirafan antarabangsa apabila YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir dianugerahkan Award of Meritorius Distinction for Leadership in Eradicating Poverty.
Dr Zambry menerima anugerah itu daripada Asian University of Bangladesh yang memilih beliau berdasarkan ketokohan dan kepimpinannya dalam melaksanakan pelbagai program membina upaya rakyat dan membasmikemiskinan melalui Yayasan Bina Upaya (YBU).
Dalam majlis yang diadakan di Dhaka, Bangladesh, baru-baru ini, YBU turut dipilih menerima anugerah Award of Prominence-Enabling Agency in Eradicating Poverty.
Dr Zambry berkata, anugerah itu diberikan selepas pihak Bangladesh, selaku peneraju pemberian pinjaman mikrokredit di negara itu melalui Grameen Bank, membuat penilaian ke atas usaha-usaha dan insiatif yang dilakukan oleh YBU dalam membasmi kemiskinan.
“Langkah kita dalam membasmi kemiskinan bukan sahaja tertumpu kepada mikrokredit tetapi kita telah memperkembangkan sistem tersebut kepada beberapa cabang dan aktiviti lagi.
“Selain mikrokredit, kita juga ada sistem Pajak Gadai Islam Ar-Rahnu. Kita juga memperkasakan golongan miskin dengan pemberian-pemberian kiosk serta kotak makanan. Bangladesh melihat usaha itu merupakan pendekatan kreatif,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat minggu Exco di Ipoh, baru-baru ini.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Naib Canselor Asian University of Bangladesh, Prof, Abul Hasan M. Sadeq dalam satu majlis khas di kampus universiti berkenaan.
Sebelum ini, kerajaan negeri telah menerima Anugerah Khas Global Islamic Finance Awards 2014 yang diberikan atas komitmen dan kejayaan kerajaan negeri dalam melaksanakan Tanggungjawab Sosial Islam di Perak. Anugerah disampaikan di Dubai pada tahun 2014.
Dalam lawatan kerja ke Bangladesh, Dr Zambry turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Luar Bandar dan Koperatif Bangladesh, Ir. Khandkr Mosharraf Hossain dan Pengasas Grameen Bank, Prof. Muhammad Yunus yang juga penerima Anugerah Nobel.