top of page
  • muinsapidin

Sultan, Raja bukan 'lanun' - Kay Kim

IPOH - Ahli sejarah dari Universiti Malaya, Prof. Emeritus Dato’ Dr Khoo Kay Kim menolak serta menyangkal tuduhan yang mengaitkan sultan atau Raja tidak lebih daripada lanun atau ‘pirates’ dalam Bahasa Inggeris.

Beliau menegaskan tuduhan yang dibuat sesetengah pihak ini adalah tidak benar sama sekali.

Beliau berkata, undang-undang British pada abad ke -19 lagi sudah menetapkan apa yang dimaksudkan dengan istilah ‘piracy’.

“Piracy adalah satu perbuatan jenayah yang hanya berlaku di kawasan laut (territorial waters) lebih daripada tiga batu (miles) dari pantai iaitu di kawasan tiada bertuan ‘no man’s territory’.

‘Kawasan laut (territorial waters) yang berhampiran dengan sebuah kerajaan adalah hak Raja maka Raja boleh menyerang sebarang kapal yang lalu sekiranya pihak yang menggunakan laluan tidak membayar ‘tol’ atau lebih dikenali dengan cukai pada masa dahulu. Perbuatan ini tidak tidak boleh disamakan sebagai perbuatan piracy,” katanya.

Prof Khoo berkata demikian semasa membentang kertas kerjanya bertajuk - Sorotan Kesultan Melayu Meyanjungi Agama, Negara dan Rakyat di Seminar Muzakarah Sultan Muizzuddin Shah di Pusat Kovensyen Amanjaya, Meru baru-baru ini.

Muzakarah dirasmikan DYMM Sultan Perak Sultan Muizzuddin Shah. Hadir sama Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Mufti Kerajaan Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Menurut Prof Khoo, berdasarkan maklumat ahli sejarah India, negara yang sudah menjadi tanah jajahan British ketika negeri-negeri tanah Melayu sedang melalui proses campurtangan kuasa luar, masyarakat Melayu akan lebih tenang sekiranya kedudukan Sultan dan Raja dikekalkan.

"Oleh itu, British memilih untuk mengekalkan kedudukan Sultan dan iktiraf Raja sebagai Raja Berdaulat kerana mahu memastikan orang Melayu tidak menjadi kucar kacir.

“Tetapi apabila campurtangan British di dalam hal ehwal pentadbiran mengganggu kuasa para pembesar, ini telah mencetuskan tindakan kebangkitan menentang pihak British,’’ katanya.

Menurutnya pihak British ketika menjajah negara sangat faham terhadap sistem kesultanan Melayu yang wujud sekian lama.

Beliau berkata, salah seorang pegawai British yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang masyarakat Melayu iaitu Frank Swettenham dalam bukunnya menulis 'umumnya orang Melayua adalah nature's gentlemen tetapi tanpa sultan atau raja, the Malays bill be just a mob'

“Paling penting untuk masyarakat hari ini tahu adalah kehadiran British bukan sebagai pemerintah tetapi sebagai pelindung kepada kedaulatan Sultan atau Raja supaya kedudukan mereka tetap dipelihara,” katanya.

“Justeru, pihak British memang faham bahawa dalam masyarakat Melayu tradisi, orang Melayu disedarkan bahawa ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’.

“Jika mereka tidak mahu tunduk kepada raja, mereka akan ‘ditimpa daulat’,” katanya.

Tambah beliau, sejarah sistem kesultanan atau beraja di negara ini sudah wujud turun temurun walaupun terdapat campur tangan kuasa asing sewaktu dijajah pada penghujung abad ke-19.

Menurut beliau, begitupun sistem tradisional ini dapat menyerap unsur-unsur baharu dan Malaysia kini mempunyai sistem monarki yang luar biasa.

“Sultan dan raja di Malaysia bukan hanya merupakan lambang keutuhan negara bangsa tetapi menjadi pelindung utama agama, negara dan rakyat jelata,” katanya


31 views0 comments
bottom of page