top of page
muinsapidin

Sultan Nazrin Tegur Pemaju Perumahan


TANJUNG MALIM – DYMM Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegur tindakan sesetengah pemaju hartanah yang dilihat dan dianggap lebih berminat membina rumah yang mahal untuk mengaut keuntungan besar. Baginda bertitah istilah rumah 'mampu lihat' dan bukan 'mampu milik' semakin disuarakan oleh rakyat berpendapatan rendah lebih-lebih lagi dalam kalangan orang Melayu dan bumiputera. Titah baginda, rumah-rumah yang siap dibina dijual pada harga di luar kemampuan majoriti penduduk tempatan.

“Pemaju kelihatan lebih berminat membangunkan rumah dengan harga mahal untuk dijual kepada bukan warganegara dan aktif melakukan promosi jualan dalam kalangan hartawan di luar negara," titah baginda pada pengisytiharan Daerah Muallim di sini baru-baru ini. Sultan Nazrin bertitah, isu perumahan merupakan satu isu penting yang wajib diberi perhatian sama ada oleh kerajaan atau pemaju. Titah baginda negara wajib berhati-hati serta meletakkan kepentingan jangka panjang untuk mengelak penjajahan melalui instrumen pemilikan hartanah. "Kepentingan perniagaan tidak seharusnya sampai ke peringkat mengakibatkan warga kehilangan hak di buminya sendiri, berakhir dengan menerima nasib ayam kelaparan di kepuk - itik kehausan di air, disebabkan perbuatan dagang lalu ditanakkan," titah baginda.

Dalam pada itu, baginda mahu unsur ilmu dan agama hendaklah dijadikan identiti bagi daerah baharu Muallim dan memberi fokus untuk dibangunkan sebagai wilayah ilmu dan kota pelajar.

Baginda juga berharap agar perancangan pembangunan daerah Muallim berupaya memenuhi keperluan penduduk pelbagai bangsa seperti kemudahan pendidikan, kesihatan, perhubungan dan perumahan.

Daerah Muallim berkeluasan 93,434.65 hektar dengan kepadatan penduduk seramai 69,639 orang terdiri dari gabungan tiga mukim iaitu mukim Slim, Mukim Ulu Bernam Barat, dan Mukim Ulu Bernam Timur yang meliputi Bandar Tanjung Malim, Slim dan Proton City.

Puan Nor Sham Binti Rahman, 43, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak telah dilantik sebagai Pegawai Daerah Muallim.

Sepuluh daerah lain di Perak ialah Hulu Perak; Kerian; Larut Matang & Selama; Kuala Kangsar, Perak Tengah; Kinta; Manjong; Batang Padang; Kampar dan Hilir Perak. - Suara Perak


12 views0 comments
bottom of page