IPOH: Satu garis panduan mengenai rumah mampu milik perlu diwujudkan sebagai usaha untuk memastikan golongan kurang berkemampuan benar-benar dapat memiliki kediaman.
YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, garis panduan itu antara lain perlu meliputi takrifan seragam bagi rumah mampu milik, termasuk harga jualan dan keluasan untuk setiap unit. Beliau menarik perhatian apabila berkata ketika ini tiada takrifan seragam mengenai rumah mampu milik sehingga setiap negeri mempunyai harga berlainan bagi kediaman tersebut.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak Real Estate dan Housing Developers Association (REHDA) menyediakan satu garis panduan bagi meletakkan kategori harga rumah mampu milik.
"Takrifan rumah mampu milik berbeza bagi setiap negeri, ada negeri RM300,000, ada lingkungan RM250,000 dan ada RM180,000. "Kategori rumah mampu milik ini tidak seragam disebabkan oleh kedudukan negeri itu sendiri, kawasan pembinaan dan keluasan tanah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek perumahan Suria@Meru dan portal hartanah RumahkuAmanjaya di sini, baru-baru ini. Menyedari akan isu berkenaan, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri mungkin akan mengkaji semua kategori rumah mampu milik untuk diletakkan pada harga sekitar RM250,000. "Saya tahu ia sangat mencabar, bagaimanapun ia bergantung kepada kawasan kalau kawasan bandar mungkin perlu penilaian," katanya.
Suria@Meru yang terletak di Zon 9, Bandar Meru Raya merupakan projek rumah mampu milik oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan apabila siap pada 2018 kelak, ia menawarkan 413 unit kediaman berkeluasan antara 1,600 hingga 1,670 kaki persegi pada harga bermula dari RM263,8000 hingga RM273,800. Sementara itu, portal RumahkuAmanjaya menyediakan maklumat mengenai hartanah yang berkualiti untuk dimiliki sama ada kediaman atau pelaburan perniagaan. - Suara Perak