top of page

Jangan Jual Tanah Kurnia – Dr Zambry

CHANGKAT LADA – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir menasihatkan penerima tanah lot rumah yang dianugerahkan oleh kerajaan supaya tidak menjualnya kepada orang lain.

Sebaliknya, kata beliau, mereka perlu membina rumah dan menyimpannya kerana harga tanah tidak pernah merosot, berbanding harta lain seperti rumah dan kenderaan.

Menurut beliau, sekiranya mereka menjual juga, ia sesuatu yang mengecewakan kerana tersasar daripada hasrat kerajaan untuk membantu mengatasi masalah perumahan untuk rakyat.

“Inilah antara usaha yang kita lakukan, kita harapkan juga kepada rakyat yang menerima tapak-tapak rumah ini supaya mereka jaganya dan janganlah hendaknya berlaku, sebelum melihat tapak, sudah bertukar tangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Hak Milik dan Surat Kelulusan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Bagi Daerah Kecil Kampong Gajah di sini, pada Jumaat.

Hadir sama Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Ghazali Jalal, Exco kerajaan negeri merangkap ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan ADUN Kampung Gajah, Abdullah Fauzi Ahmad Razali.

Seramai 811 orang menerima lot yang berkeluasan antara 4,000 hingga 5,400 kaki persegi di RPT Air Kuning, Pasir Panjang Ulu; RPT Pulau Tiga Kiri, Mukim Pulau Tiga; RPT Bukit Chawi, Mukim Bandar dan RPT Gen 2, Mukim Pasir Salak.

Dr Zambry berkata, adalah sukar untuk kerajaan mengenakan syarat supaya penerima tidak menjual tanah yang mereka terima kerana terdapat kemungkinan mereka akan berusaha untuk mencari ruang bagi melakukannya.

Beliau memberi contoh, Tanah Rezab Melayu (TRM) yang sememangnya tidak boleh dijual kepada bukan Melayu tetapi ada pihak tertentu yang mencari ruang kelemahan yang ada dalam akta yang berkaitan dengan rezab Melayu.

“Contohnya, ada yang tubuhkan syarikat, tanah itu dimasukkan ke dalam syarikat itu dan dia jual syarikat. Jadi bila dia jual syarikat, di dalamnya terkandung ada harta-hartanya, salah satu termasuk tanah rezab Melayu.

“Tapi apabila dia jual syarikat kepada bukan Melayu, secara tidak langsung, yang bukan Melayu telahpun memiliki,jadi ini salah satu daripada `loop hole’ yang mereka cari,” jelas beliau.

Beliau menambah, terdapat beberapa kes seumpama itu yang telah dibawa ke mahkamah.

Dalam pada itu, Dr Zambry memberitahu, terdapat beberapa skim yang boleh membantu penerima lot rumah itu, termasuk di bawah FELCRA, SPNB, SRIA, mengikut kesesuaian.


288 views0 comments
bottom of page