CHANGKAT LADA – Penganugerahan 811 lot rumah di empat Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) di Daerah Kecil Kampong Gajah membuktikan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membantu rakyat.
Ahli Parlimen Pasir Salah, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, anugerah itu sekaligus membuktikan dakwaan kononnya kerajaan tidak membantu rakyat adalah tidak benar sama sekali.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat supaya jangan mudah terpedaya dengan dakyah yang disebarkan oleh pihak pembangkang, yang semata-mata bertujuan untuk menimbulkan rasa benci terhadap kerajaan dan pemimpin.
“Mereka datang hanya ketika musim pilihanraya dengan membawa pelbagai cerita kononnya kerajaan tidak membantu rakyat tetapi sebenarnya kerajaan telah memberi membantu rakyat sejak dari dahulu lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Hak Milik dan Surat Kelulusan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Bagi Daerah Kecil Kampong Gajah di sini, pada Jumaat yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani turut melahirkan kebimbangan kemungkinan adanya penerima anugerah lot rumah itu yang menjualnya kepada orang lain.
Menurutnya, perkara itu pernah berlaku ketika dahulu dan berharap ia tidak akan berulang kerana keluasan tanah yang semakin terhad.
“Hendak mendapat kali kedua, tidak mungkin kerana ada ramai lagi yang memohon dan masih masih belum dapat, terdapat juga mungkin ada nama yang tercicir yang kita akan pertimbangkan semula,” ujarnya.