top of page
muinsapidin

PRELUT Rai Ibu Tunggal, Anak Yatim

IPOH: Lebih daripada 300 kaum ibu tunggal dan anak yatim piatu dari sekitar negeri Perak diraikan dalam program Sumbangan Hari Raya Pusat Rekreasi dan Hotspring Lubuk Timah ( PRELUT ) baru-baru ini.

Majlis berbuka puasa yang turut dihadiri oleh kakitangan serta sahabat handai PRELUT turut mendapat kunjungan daripada Pusat Mahaad Tahfiz ADIM Batu Gajah serta beberapa individu persendirian yang merupakan rakan karib pusat pelancongan tersebut.

Pengarah Urusan PRELUT, Fadzil Akma Mohd Yusoff berkata majlis berbuka puasa tersebut merupakan antara program penutup bagi bulan Ramadan yang diadakan khusus untuk bersedekah bagi golongan memerlukan.

"Majlis ini sebenarnya bersifat sederhana namun yang paling penting adalah kita dapat menjalankan tanggungjawab sosial korporat ( CSR) kita dengan lebih imarah dan beringat kepada mereka yang kurang bernasib baik, berbuka puasa dan beramah mesra bersama mereka.

"Selain itu, program ini juga menjadi landasan untuk memberikan tradisi duit raya kepada anak-anak yatim dan tahfiz yang diberikan khusus daripada PRELUT serta hamba Allah yang ikhlas memberi tanpa meminta balasan,"katanya kepada Suara Perak ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan duit raya kepada ibu tunggal dan anak yatim Perak di Heritage Hotel baru-baru ini.

Katanya,pihaknya sentiasa mengalu-alukan keikhlasan hati sesiapa yang sudi menderma melalui PRELUT untuk disalurkan kepada badan kebajikan bukan sahaja di bulan Ramadan tetapi juga bagi pahala sepanjang tahun.

Turut hadir memeriahkan majlis, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Mohd Zahir Abdul Khalid.

Katanya, badan korporat dan organisasi swasta di seluruh negeri digalakkan bukan sahaja untuk sentiasa beramal jariah di waktu bulan Ramadan namun juga sepanjang tahun.

"Pendekatan PRELUT dilihat sebagai amat rasional kerana ia membuktikan bahawa sesebuah entiti boleh menjalankan tanggungjawab sosial dan bukan hanya sekadar berdasarkan keuntungan dan komersial semata-mata.

"Walaubagaimanapun, bersedekah dan beramal di bulan Ramadan adalah amat berfaedah kerana pahala dalam membantu mereka yang kurang berkemampuan, memberikan mereka secebis rasa kebahagiaan serta tidak terpinggir daripada komuniti masyarakat pastinya akan berlipat ganda,"katanya kepada Suara Perak sewaktu ditemui dalam program berbuka puasa itu.

Harapannya, agar kesemua rakan kongsi kerajaan negeri yang turut berperanan mengurangkan beban mereka yang kurang berkemampuan akan mengambil iktibar dan mensyukuri Syawal dengan kerendahan hati dan kekhilafan.

Zahir dalam pada itu turut memuji dan berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam mengagihkan secebis ehsan serta pemberian ikhlas pada bulan rahmat itu malah diharap meneruskan sumbangan masing-masing sepanjang tahun dan juga meluaskan golongan sasaran mereka.


27 views0 comments
bottom of page