IPOH: Perak menjadi negeri pertama yang melancarkan Pelan Tindakan Strategik Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) 2016 - 2020 sebagai garis panduan untuk memperkasakan badan-badan berkenaan di negeri ini.
Pelancaran disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sempena Dailog Pembangunan Antarabangsa Pangkor (Pangkor Dialogue) 2016 di Casuarina@Meru di sini pada Ahad.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO Dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Dr Mazalan Khamis.
Dr Zambry berkata, pelan itu dihasilkan melalui perbincangan dengan pelbagai NGO di negeri Perak sejak beberapa bulan lalu.
“Ini adalah merupakan salah satu usaha strategik yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan negeri Perak bagi memastikan masyarakat sivil yang ada dalam negeri ini dapat berada dalam satu platform bersama dan memberikan tumpuan ke arah pembangunan negeri kita seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu.
Dr Zambry memberitahu, sehingga April 2016, terdapat 5,723 NGO direkodkan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Perak dan daripada jumlah berkenaan 4,814 diklasifikasikan sebagai aktif.
"Begitu banyak sekali pertubuhan bukan kerajaan di negeri Perak, oleh yang demikian kerajaan negeri memberi tumpuan untuk memastikan supaya NGO-NGO ini dapat memainkan peranan bersama-sama dengan kerajaan negeri dalam membangunkan negeri Perak kota berdasarkan kepada fokus bidang masing-masing,” ujar beliau.
Menurut beliau, pelan tindakan strategik itu mengandungi sembilan bidang fokus iaitu:-
1. Pembangunan kapasiti NGO belia dan wanita.
2. Keselamatan dan kesihatan rakyat.
3. Pembangunan keusahawanan dan peningkatan ekonomi masyarakat.
4. Isu sosial, kebajikan dan masyarakat penyayang.
5. Hak Asasi, keagamaan, intergriti dan keadilan.
6. Kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
7. Sistem penyampaian maklumat dan media social.
8. Pendidikan pengguna.
9. Pendidikan dan intergrasi nasional.
Dengan adanya pelan tindakan strategi itu, Dr Zambry berharap NGO di negeri ini dapat membantu memberi fokus kepada sembilan perkara itu, yang beliau sifatkan sebagai komprehensif dan melibatkan semua kumpulan masyarakat.
“Kita harap pada tahun 2020, apa yang dihasratkan dalam sembilan fokus ini akan mencapai matlamatnya,” kata beliau.