SUNGAI GALAH - Baunya sudah boleh dihidu dari jauh, tambah lagi jika sudah masak ranum, itulah kelebihan buah cempedak yang seringkali isinya digoreng bersama tepung manakala bijinya direbus hingga lembut.
Tidak ramai yang tahu keseluruhan buah cempedak boleh dimakan, cuma dibuang bahagian kulit yang bergerutu dan boleh menghasilkan resipi disebut sebagai mandai iaitu jeruk kulit cempedak.
Makanan ini terkenal dalam kalangan masyarakat Banjar dan boleh didapati dengan mudah jika berkunjung ke beberapa kawasan di Perak seperti Kerian, Sungai Manik dan Bagan Datoh.
Menerusi pengalaman Ketua Kampung Kg Makmur, Sg. Galah, Yahya Ahmad, kebiasaannya Mandai dimakan bersama nasi dan rasanya menyerupai jeruk maman.
“Ramai yang tak tahu sebab hanya orang Banjar yang selalu makan Mandai, ia lebih kurang macam ulam-ulaman atau jeruk maman.
“Selalunya cempedak yang sudah dikeluarkan isi, kita kikis atau buang lapisan kulit luar, bahagian lembut yang tinggal dipotong kecil, basuh dan masukkan ke dalam balang kaca.
“Campurkan bahan untuk hasilkan jeruk seperti air, gula, garam serta cuka dan boleh simpan atau peram,” katanya kepada Suara Perak.
Menurut Yahya, Mandai boleh juga digoreng atau ditumis, selalunya dicampur dengan bawang besar, cili api dan ikan bilis dan rasanya memang sedap seakan-akan kentang atau lobak.
Namun begitu, ujarnya, makanan tradisi itu semakin kurang diketahui, lebih-lebih lagi di kalangan generasi muda, memandangkan ia hanya disediakan oleh mereka yang berumur di kampung-kampung.
“Kalau boleh kita perkenalkan balik makanan ini sebab ianya unik, rasa pun sedap, daripada dibazirkan kulit cempedak itu, baik dibuat Mandai,” katanya.