top of page
muinsapidin

SIMPUL KASIH UNDANG ‘KETAGIHAN’ BARU SNEK

Simpul kasih kini menjadi ‘ketagihan’ untuk dinikmati sebagai kudapan berikutan rasanya yang enak dan digemari ramai.

Tentu sahaja anda pernah merasai sendiri makanan berasaskan kulit popia ini.

Ia dipanggil simpul kasih kerana bentuknya yang diikat menjadi satu simpulan berbentuk riben, inti yang diperbuat daripada ikan bilis atau udang diletakkan di bahagian tengah kulit popia.

Memang, snek ini mudah didapati di mana-mana kiosk menjual kerepek dan makanan ringan namun sebagai pembeli pastinya kita mahukan simpul kasih yang padat dengan inti dan semestinya enak.

Bagi anda yang sudah berpengalaman membuatnya sendiri di rumah tentu lebih arif tentang langkah-langkah dan cabaran ketika menyediakannya.

‘Renyah’ atau rumit…itu perkataan yang akan muncul jika ditanya pada si pembuat simpul kasih.

Walaupun begitu ketelitian pelatih Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Impian Batu Kurau, berjaya menghasilkan snek rangup ini.

Menurut salah seorang petugas di sini, Noraini Kassim produk simpul kasih di PDK ini dibuat sendiri oleh anak-anak dari golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Kita tahu proses nak hasilkan simpul kasih memang rumit dan memakan masa, lebih-lebih lagi kalau jenis yang perlu diikat berbanding popia mini gulung.

“Tapi apa yang saya boleh katakan adalah keazaman anak-anak di sini untuk letak inti, menggulung, menyimpul dan menggoreng sehingga menjadi produk untuk dipasarkan merupakan satu kebanggaan buat PDK di sini,” kata Noraini.

Jelasnya lagi permintaan menerusi makanan ini mendapat sambutan yang menggalakkan terutama daripada penduduk di sekitar Batu Kurau.

“Kami hebahkan guna medium Facebook dan dari mulut ke mulut. Kita jual ikut permintaan dan musim perayaan dan bulan Ramadan.

“Untuk buat simpul kasih pula kena ambil kira factor cuaca, disebabkan ia tidak boleh dihasilkan di bawah kipas angin atau keadaan cuaca yang panas. Kulit popia akan jadi keras dan koyak. Inti yang diguna dalam penyediaan simpul kasih kebiasaannya mengandungi isi ikan bilis, namun begitu ia boleh divariasikan mengikut citarasa sendiri termasuk menggantikannya dengan ayam, daging atau udang.

“Selalunya kalau untuk sediakan inti kami sebagai petugas atau penyelia yang bertanggungjawab sediakan, selebihnya diserahkan kepada pelatih PDK termasuklah proses menggoreng. Tapi semuanya dengan pemantauan teliti,” katanya.

Bagi satu bekas besar simpul kasih mengandungi 650 gram manakala yang kecil 250 gram, masingmasing berharga RM 27 dan RM 12.

Untuk mendapatkannya boleh hubungi 058883864 atau datang sendiri ke No 1/A Jalan Kampung Baru, 34500 Batu Kurau.


31 views0 comments

Recent Posts

See All

Rendang Lokan

Rasa Manis Semulajadi Pembuka Selera TAIPING - Rendang adalah salah satu daripada makanan tradisi masyarakat Melayu yang kebiasaannya...

bottom of page