top of page
Search
muinsapidin

Sesuap Wadai Kiping

Kembalikan Nostalgia Makanan Tradisi Banjar

Semakin pelik nama sejenis makanan kebiasaannya akan lebih mudah diingati dan meniti di bibir masyarakat setempat, begitu juga dengan manisan Wadai Kiping yang tidak kurang hebat penangannya untuk dijadikan alas perut.

Makanan tradisi ini dipercayai diperkenalkan oleh masyarakat Banjar dan mula popular apabila dihidangkan kepada orang ramai lantas resipinya mula diperturunkan dari mulut ke mulut.

Menurut Shamsiah Azwan, 50, yang kini menetap di Kampar, cara pembuatan serta rasanya seakan sama dengan manisan Puteri Mandi atau Badak Berendam, bergantung kepada jolokan yang diberikan di sesetengah daerah.

“Selalu kita sebut Badak Berendam atau Puteri Mandi, orang boleh faham dan ada yang tahu nama kuih itu. Tapi bila cakap Wadai Kiping ramai yang terpinga-pinga sebab tak pernah dengar.

“Ia popular di kalangan masyarakat Banjar, Wadai itu bermaksud kuih dan Kiping maknanya lebih kurang macam tekan atau sesuatu yang dipicit. Boleh kata ianya seperti bubur manisan dan enak dimakan,”kata Shamsiah.

Walaupun begitu makanan ini semakin jarang didapati dan hanya disediakan di majlis-majlis tertentu sahaja ataupun di beberapa buah gerai khas menjual bubur manisan.

“Biasalah di zaman sekarang, kita semua sibuk dengan urusan masing-masing. Kalau teringin hendak makan sesuatu manisan, lebih mudah jika dibeli di kedai tapi rasanya semestinya tidak sama dengan yang dimasak dengan air tangan sendiri,” katanya.

Sambil bercerita serba sedikit tentang asal usul resipi ini, Shamsiah turut berkongsi resipi dan cara penyediaannya. Khusus buat mereka yang ingin mencubanya sendiri di rumah.

“Bahannya mudah sahaja boleh dapat di pasaraya, sediakan bahan pertama iaitu tepung pulut, tepung beras, air kapur, air dan garam. Selain itu untuk bahan kedua seperti santan, gula merah, daun pandan, gula pasir, garam dan jika mahu tambah perisa boleh masukkan durian.

Campurkan semua bahan pertama dan gaul hingga sebati, jadikan ia seperti doh dan boleh digentel berbentuk bulat dan penyekkan ia kepada kepingan. Santan pula dimasak kemudian campurkan gula merah, gula pasir dan garam. Kacau sehingga sebati. Masukkan bahan yang sudah digentel, masak hingga empuk. Akhir sekali masukkan daun pandan serta durian,” katanya.

Masih banyak resepi dan makanan tradisi yang belum diterokai sepenuhnya malah semakin hilang ditelan zaman, lebih molek kiranya kita semarakkan kembali kepelbagaian makanan ini untuk kebaikan bersama.


170 views0 comments
bottom of page