Minat Bertukar Lubuk Rezeki Buat Beradik Kembar
KUALA KANGSAR – Tiada siapa sangka bermula sekadar suka-suka, kini minat yang mendalam terhadap seni warisan zaman berzaman, bertukar menjadi sumber pendapatan utama.
Itulah semangat yang tercetus dalam diri dua beradik kembar Juliana dan Jumiana Mohd Yussof, 38, yang berasal dari Bandar DiRaja Kuala Kangsar setelah mengikuti latihan yang dianjurkan oleh sebuah badan kraftangan, lapan tahun lalu.
Maka tidak hairan jika sentuhan seni halus Tekat Benang Emas atau sulaman emas yang dihasilkan kedua beradik ini pernah menerima tempahan daripada pihak Galeri Seni Harold London ketika awal pembabitan mereka dalam bidang seni ini pada 2008.
“Kursus yang dianjurkan Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Perak (PKPerak) selama enam bulan di situ, sedikit sebanyak melatih kami berdua mendalami seni yang semakin dilupai kini,” kata Juliana atau lebih mesra disapa dengan panggilan Juli.
Menurutnya, kebanyakkan generasi kini kurang berminat untuk mempelajari seni tekat sulaman emas ini secara serius.
Katanya, ada golongan muda yang mengikuti kursus berkenaan semata-mata mengejar elaun bulanan tanpa menyedari jika seni kraftangan ini dibuat secara bersungguh-sungguh ia mampu meraih pendapatan yang lumayan.
“Tempahan pertama yang kami terima sebaik berjaya menamatkan kursus adalah ‘tudung saji’ yang dianggarkan bernilai RM2,500.00,” katanya.
Jelasnya, setelah berpuas hati dengan hasil kerja tersebut, pihak PKPerak telah menempah sulaman seterusnya yang dibeli oleh pihak Galery Seni Harold yang terletak di Harold.
“Pihak galeri berkenaan mahukan 20 unit bagi setiap satu corak yang diberikan sebagai sampel,” katanya lagi
Sementara itu kembar Juli iaitu Jumi pula memberitahu, selain galeri berkenaan sentuhan kreatif mereka dua juga mendapat perhatian Istana Negara.
“Kami terpilih untuk menhasilkan Tekat Benang Emas sebagai perhiasan lapik singgahsana DiRaja, Istana Negara yang kini dibuka untuk tontonan umum,” jelasnya yang kini sudah pun membuka perniagaan mereka sendiri bawah nama Seri Tekatan Nusantara.
Tambah Jumi, bukan hanya golongan atasan yang berminat dengan hasil kraftangan ekslusif ini malahan orang awam juga ramai yang berminat untuk memiliki perhiasan yang dihiasi sulaman benang emas ini.
Katanya lagi, antara perhiasan yang pernah dihasilkan adalah bantal empat segi atau kusyen, alas duduk nikah atau ‘Chior’, bantal peluk atau ‘Bantal Seraga’, kipas tangan, selipar kegunaan istana, pelamin dan tepak sireh.
Jumi berkata, masa yang diperlukan untuk menyiapkan satu-satu produk yang ditempah bergantung kepada jenisnya.
“Ada yang memakan masa lebih daripada sebulan. Kami juga memerlukan masa lebih kurang sebulan untuk menerima tempahan bagi menyediakan kelengkapan,” kata Jumi lagi.
Tidak menafikan ketahanan produk Tekat Benang Emas ini boleh menjangkau puluhan tahun jika dijaga dengan kaedah yang betul.
Anggaran harga produk sulaman emas ini bermula daripada RM500 hingga mencecah puluhan ribu nilainya mengikut kriteria produk yang ditetapkan.
Justeru katanya, seni warisan ini akan terus berada dipasaran selagi ada permintaan.
Orang ramai yang berminat mendapatkan maklumat lanjut berkenaan produk seni tekat benang emas ini boleh menghubungi pasangan ini di talian 05-7576503