Perisa Lobak, Bayam Dan Labu Serlah Keunikan Mi
MENGAGUMKAN! Itulah ayat pertama yang terlintas di fikiran sebaik sahaja melihat produk mi pelbagai perisa hasil air tangan ‘anak-anak syurga’ di SMK Bagan Serai (SMKBS) sempena Program Pemukiman Menteri Besar di Daerah Kerian baru-baru ini.
Inovasi mi dengan tiga perisa - bayam, lobak dan labu menjadikannya salah satu inovasi baharu yang boleh dibanggakan.
Produk yang dinamakan Mi Ikat itu merupakan hasil usaha Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMKBS yang melibatkan hampir 10 pelajar Pendidikan Khas (Slow Learner).
Ia dijalankan menerusi pemantauan dan tunjuk ajar daripada guru dalam bidang tersebut.
Menariknya tentang mi itu adalah dengan cara pembuatannya, malah rasanya juga enak jika dibandingkan dengan mi kuning yang terdapat banyak di pasaran sekarang.
Mi Ikat Hasil Air Tangan ‘Anak-Anak Syurga’
Menurut Pengetua SMKBS, Roslan Hassan, tiada apa yang lebih membanggakan pihak sekolah selain kejayaan para pelajar, khususnya apabila melibatkan perkembangan positif di kalangan pelajar pendidikan khas.
“Bayangkan pelajar pendidikan khas yang sememangnya kita gelar anak-anak syurga ini boleh belajar, berdikari dan hasilkan sesuatu produk dengan bimbingan para guru, ia sesuatu yang cukup membanggakan apabila terhasilnya mi ikat.
“Sudah ada permintaan daripada orang ramai yang ingin membeli mi ini, Alhamdulillah, sebelum inipun sudah berjaya dijual kepada guru-guru di sekolah lain,” kata Roslan ketika ditemui di Program Sepagi bersama Yang DiPertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli.
Saripah yang meluangkan masa meninjau persekitaran bengkel dan kelas MPV masakan, tidak melepaskan peluang untuk mencuba sendiri keenakan mi ikat.
PPKI mempunyai 10 orang guru termasuk seorang Penolong Kanan Pendidikan Khas, 41 orang pelajar dengan tujuh bilik darjah termasuk kelas inklusif dan tiga orang Pembantu Pengurusan Murid.
Rasa Dari Ekstrak Sayuran Serlah Keenakan Mi
Sementara itu, Nor Asima Abu Bakar yang bertugas sebagai guru pendidikan khas di SMKBS memberitahu, idea penghasilan mi itu bermula sebaik sahaja dia mengikuti kursus bersama cef di Ipoh tahun lalu.
“Saya ikuti kursus dengan cef di Ipoh, kemudian sedikit demi sedikit mengajar anak-anak pendidikan khas MPV Masakan yang memfokuskan kepada mi mentah iaitu mi bayam, mi kuning, mi labu dan mi lobak.
“Mi Ikat ini memang istimewa disebabkan ia tidak perlu dibasuh, halus, bersih, tidak pahit dan boleh disimpan di dalam tempat beku,” ujar Nor Asima.
Selain menyerlahkan rasa enak dari campuran ekstrak sayuran, ia juga halus dan tahan lama walaupun tidak menggunakan sebarang bahan pengawet.
“Kalau di pasar, mungkin ada mi yang letak asid borik atau kapur untuk bagi tahan lama, tapi di sini tidak, sebab kita mahu jual makanan sihat kepada pengguna.
“Bahan utama juga berasaskan sayur-sayuran dan dibeli hanya apabila kami mahu membuat mi, dan cara ini boleh mengekalkan kesegaran,” katanya.
Dorongan Pengetua, Wakil Rakyat Bantu Pelajar Berdikari
Pasti ada yang tertanya-tanya mengapa dinamakan Mi Ikat. Ironinya menurut salah seorang tenaga pengajar, nama itu dipilih secara spontan kerana ia dibungkus menggunakan plastik dan diikat dengan tali.
Selain itu, Nor Asima turut menyambut baik usaha dan sokongan pelbagai pihak untuk mengetengahkan jenama Mi Ikat lebih meluas, selain bantuan daripada wakil rakyat tempatan bagi membeli mesin.
“Selain Pengetua, kami ucapkan berbanyak terima kasih juga kepada ADUN Alor Pongsu, YB Dato’ Sham Mat Sahat kerana memberi sumbangan dua buah mesin gelek tepung khas untuk kelas ini.
“Adalah menjadi harapan kami agar mendapat set lengkap untuk memproses mi dalam kadar yang banyak. Ada juga perancangan untuk buat mi sanggul kering di masa hadapan, mudah-mudahan usaha kami berbaloi,” katanya.