top of page
muinsapidin

Cikgu Bee ‘Godfather’ Dalam Sukan Woodball

Garap Peluang, Asah Bakat Pelajar Menerusi Woodball

Apa persamaan di antara Tiger Woods dan individu bernama Sarbi Mat Nah?

Secara perbandingannya, Tiger Woods berjaya mencetuskan fenomena dalam sukan Golf sehingga dikenali di seluruh dunia manakala Sarbi dilabelkan sebagai ‘Godfather’ kerana berjaya mendominasi sukan woodball di Perak.

Namun demikian masih ramai di antara kita yang kurang maklum tentang kewujudan sukan woodball walaupun ianya sudah meluas di negara lain. Sukan ini tidak jauh beza dengan golf, malah alatan yang digunakan juga seakan sama.

Menurut sejarahnya, woodball muncul dari idea seorang warga China Taiwan yang bernama Ming-Hui Weng. Ketika itu sekitar tahun 1990, Ming ingin membuat kebun untuk ayahnya menikmati pemandangan alam. Selain itu, dia juga mendapat idea untuk memanfaatkan kebun tersebut sebagai tempat bermain bola.

Seterusnya, Ming pun cuba membuat jenis sukan bola yang boleh dimainkan di tanah yang tidak luas serta murah biayanya agar dia dapat mengajak lebih banyak teman untuk bermain di taman tersebut. Maka terciptalah woodball yang kekal sehingga kini.

Bercerita lebih mendalam tentang penglibatannya, Sarbi atau lebih mesra disapa sebagai Cikgu Bee menjelaskan dia mula mengenali dan ‘jatuh cinta’ dengan sukan woodball sewaktu berkunjung ke Pahang pada tahun 2009 dan pada ketika itu beliau mencari inisiatif bagaimana hendak mewujudkan sukan ini di Perak.

Pada tahun 2012 beliau bertukar ke sekolah baharu dan mula mengkaji kesuaian sukan ini untuk anak-anak didiknya, bermodalkan hanya tiga set alatan woodball, beliau berbangga kerana kini sekolahnya memiliki lebih empat puluh set alatan tersebut.

Beliau yang berpengalaman sebagai pemain woodball, merupakan individu pertama dalam sejarah mewakili negeri Perak di Kejohanan besar seperti kejohanan Woodball Kebangsaan dan Kejohanan Woodball Antarabangsa Terbuka Malaysia.

Lebih mengagumkan apabila SK Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi (SKSMI) telah diisytiharkan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) yang mana bidang kebitaraannya (niche area) adalah sukan woodball.

SKSMI merupakan SKK pertama sekolah rendah bagi sukan woodball memandangkan di Malaysia hanya ada empat SKK yang berkebitaraan woodball, di mana tiga lagi adalah sekolah menengah yang terletak di Pahang.

Selain dari SKSMI, beliau juga turut menganjurkan sukan woodball ini di peringkat kampungnya di Kampung Bendang kering Kuala Kangsar. Melalui Kelab Sukan Bendang kering, beliau sering melaksanakan aktiviti sukan woodball termasuk penganjuran kejohanan woodball DBENDUNKS CUP sempena hari sukan negara.

Saban tahun, beliau turut menghantar pemain untuk menyertai kejohanan kebangsaan selain berharap supaya sukan ini terpilih sebagai salah satu acara dalam SUKMA 2018, lebih-lebih lagi Perak sebagai tuan rumah.

Untuk tahun 2016 ini beliau melalui Kelab Sukan Bendang Kering sedang merancang untuk menganjurkan Royal Town Woodball Challenge 2016. Ia bakal menjadi kejohanan pertama yang melibatkan 4 buah bandar DiRaja iaitu Kuala Kangsar, Arau, Pekan dan Kuala Terengganu.

“Saya amat berharap untuk mendapatkan sokongan dan tajaan bagi menjayakan Kejohanan besar ini. Ianya mampu menjadi titik tolak permulaan sukan woodball di negeri Perak dan bakal membuka mata banyak pihak.

Woodball tidaklah sukan bersifat eksklusif seperti Golf. Ianya boleh dimain oleh sesiapa sahaja. Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Kelab Sukan Woodball SK Syeikh Idris al-Marbawi, Lubok Merbau,” kata Cikgu Bee.

Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi mereka melalui emel almarbawiwoodballclub@gmail.com dan laman Facebook AL-MARBAWIWOODBALL CLUB serta Instagram @almarbawiwoodballclub.

Cara Bermain Woodball

Bola kayu dipukul dengan pemukul kayu tersebut menyusuri garis lintasan, seterusnya dimasukkan ke gawang. Pemain yang berjaya memasukkan bola ke dalam gawang dengan perhitungan pukulan yang paling sedikit berhak menjadi juara.

Istilah Dalam Sukan Woodball

Course- padang permainan

Wicket- pintu kecil diperbuat dari kayu

Ball-bola

Mallet- tukul berkepala dibuat dari kayu

Mallet Head- kepala tukul

Fairway- laluan padang permainan

First Shot- pukulan pertama

Hitting- memukul

Touch- sentuh

Double Contact- menjadikan dua kali sentuhan

Wicket Area- kawasan pintu

Pick Up- mengutip


186 views0 comments

Recent Posts

See All

Rendang Lokan

Rasa Manis Semulajadi Pembuka Selera TAIPING - Rendang adalah salah satu daripada makanan tradisi masyarakat Melayu yang kebiasaannya...

bottom of page