KUALA KANGSAR - Ramadan datang lagi dan seperti kebiasaannya, makanan unik dan jarang didapati di bulan-bulan biasa akan muncul dengan pelbagai variasi nama.
Antaranya, Apam DiRaja atau lebih dikenali penduduk Kuala Kangsar sebagai Apam Pasang.
Baunya yang harum semerbak sememangnya boleh dihidu dari jauh ditambah pula jika dihidang panas-panas, kata orang tidak lengkap jika ke Kuala Kangsar tanpa merasai keenakan kuih istimewa ini.
Kuih ini digemari kerana bentuk dan rasanya yang mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak ataupun sewaktu zaman persekolahan.
Ada sesetengah yang menamakannya apam pasang kerana apabila siap, biasanya dua keping kuih ini akan ditelangkupkan menjadi satu, seperti kembar atau sepasang.
Rasa apam ini agak manis tetapi lebih enak di makan bersama kelapa muda yang telah diparut.
Penyediaannya begitu unik kerana ia menggunakan nasi yang ditapai dengan ragi, berbanding penggunaan yis untuk apam yang lain.
Selain itu, Apam DiRaja menggunakan tepung beras dan bukan tepung gandum serta dilapik dengan daun pisang semasa dikukus untuk menimbulkan aroma dan enak untuk dimakan.
Kebiasaannya kuih ini tetap lembut walaupun disimpan sehingga keesokan hari memandangkan cara pembuatannya yang masih menggunakan cara tradisional.
Jika dahulu bentuknya bulat tetapi kini ia telah divariasikan mengikut cita rasa pembuatnya, sesuai dengan peredaran zaman.
Dalam pada itu, kuih tradisional ini juga tidak menggunakan sebarang pewarna dan hanya berwarna putih sahaja.
Apam DiRaja atau Apam Pasang lazimnya dihidangkan semasa majlis keramaian seperti ketika gotong-royong dan kenduri kahwin.