top of page
muinsapidin

Tat Nenas Amyaifa Terbang Ke Melbourne dan Tokyo

KUALA KANGSAR - Insiden rompakan bank di Beruas tujuh tahun lalu berjaya mengubah kehidupan Nazp Aifa Muhammad Nor, 45, yang kini dikenali ramai menerusi Tat Nenas dan Semperit warisan di Kuala Kangsar.

Keenakan dan keistimewaan biskut buatannya mendapat sambutan, bukan sahaja di Perak, bahkan sehingga ke Melbourne, Australia dan Tokyo, Jepun. Promosi menerusi kaedah ‘mulut ke mulut’ daripada pelanggan turut menjadi kekuatan buat jenama biskut Amyaifa.

Menurut Aifa, dia mula berjinak-jinak membuat biskut sejak menghasilkan hamper untuk pelanggan di bank tempat dia bekerja, sehingga menimbulkan minatnya untuk mempelajari teknik pembuatan biskut.

“Respon yang saya terima daripada orang yang pernah rasa tat nenas dengan semperit sangat baik, lebih-lebih lagi ramuan biskut itu merupakan resipi keluarga turun temurun,” katanya ketika ditemui di kedainya di Taman Chandan Puteri di sini.

Sebelum menjalankan perniagaan biskut, Aifa bekerja sebagai penyelia di sebuah bank tetapi peristiwa rompakan bank oleh beberapa orang lelaki bertopeng menyebabkan nekad untuk meninggalkan kerjaya tersebut.

Jelas Aifa ramai yang mengenali biskut keluarannya melalui mulut ke mulut, malah dia juga sering mendapat tempahan dalam kuantiti yang besar seperti majlis perkahwinan VIP dan jamuan aidilfitri.

“Biskut yang paling laris di sini ada 10, kalau hari raya ramai yang tempah tat nenas, semperit dan almond crunch,” katanya sambil mengakui isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Saripah Zulkifli juga pernah beberapa kali membeli biskutnya.

Menurut Aifa, pada peringkat awal perniagaannya, biskut buatannya hanya dipromosi dari mulut ke mulut, sambil dibantu oleh suaminya, Azman Mohd Yussof,50.

Keunikan tat nenas resipi warisan di sini adalah teksturnya tidak mudah pecah berbanding yang sedia ada di pasaran, selain rasa inti dan saiznya yang besar.

“Daripada maklum balas pelanggan, mereka sukakan rasanya tidak terlalu manis, bila masuk saja ke dalam mulut ia tidak mudah berderai dan tak terlalu rapuh, begitu juga dengan semperit,” ujarnya.

Selain menjual produknya sendiri, Aifa turut membantu menjual biskut peniaga lain kerana permintaan yang banyak, seperti kuih kapit perisa kacang dan coklat daripada ejen di Selangor.

Mereka yang berminat untuk membuat sebarang tempahan biskut, kek dan hamper boleh menghubungi Amyaifa Food Craft Sdn Bhd - 0164105060. Facebook- Nazp Aifa.


45 views0 comments

Recent Posts

See All

Rendang Lokan

Rasa Manis Semulajadi Pembuka Selera TAIPING - Rendang adalah salah satu daripada makanan tradisi masyarakat Melayu yang kebiasaannya...

bottom of page