top of page
muinsapidin

Hamzah Pembuat Songkok Terkenal Di Perak

IPOH - Songkok merupakan sejenis topi tradisional bagi orang Melayu yang lazimnya dipakai sebagai pelengkap kepada baju Melayu untuk menghadiri majlis-majlis tertentu.

Songkok dikatakan popular bagi masyarakat Melayu di Malaysia, Singapura, Indonesia dan selatan Thailand.

Ia menjadi simbol identiti Islam dan menjadi popular di kalangan India Muslim dan menurut pakar kemudiannya beransur menjadi songkok di Alam Melayu.

Bagi kalangan orang Melayu, songkok menjadi pemakaian kepala yang rasmi ketika menghadiri uparaca-upacara rasmi seperti upacara perkahwinan, solat Jumaat, upacara keagamaan dan sewaktu menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Walaupun kini ramai yang memilih untuk memakai ketayap atau berserban, songkok tetap menjadi pilihan pada setiap sambutan Hari Raya Aidiladha atau Aidilfitri.

Perkara itu diakui sendiri oleh Hamzah Irzal, 48, seorang pembuat songkok terkenal di Ipoh, satu-satunya pembuat songkok yang masih bertahan setelah berkecimpung dalam bidang itu lebih 16 tahun.

Hamzah amat dikenali bukan sahaja di Ipoh malah di seluruh Perak sebagai seorang pembuat songkok berkualiti dengan berjenama Al Jilani yang beroperasi di No B-41, Tingkat 1, Bangunan UTC, Jalan Dato’ Onn Jaafar, Ipoh.

Beliau mengakui, setiap kali tibanya bulan Ramadan dan menjelang sambutan Hari Kemerdekaan, merupakan waktu paling sibuk kerana di kala itulah dia akan membuat lebih banyak songkok berbanding hari-hari biasa.

Menurut anak kelahiran Kemaman, Terengganu ini, beliau menerima banyak tempahan pada musim perayaan terutama pada Hari Raya Aidifitri dan Aidiladha kerana di waktu itu ramai yang mahu memakai songkok baru untuk menyambut lebaran.

“Bagi sambutan Aidilfitri yang semakin hampir, saya telah menerima 100 tempahan membuat songkok baru dan juga kopiah jenis Al-Hafiz dan Al-Azhar pelbagai saiz daripada orang ramai yang hendak menyambut hari raya tahun ini,’’ katanya kepada Suara Perak baru-baru ini.

Selain itu, beliau juga mendapat tempahan membuat songkok eksekutif yang berharga RM180 setiap satu daripada orang kenamaan termasuk Mufti Kerajaan Negeri Perak, Tan Sri Harussani dan ketua-ketua Jabatan kerajaan.

“Bagi songkok biasa, saya jual pada harga RM90 tiap satu dan sambutannya amat menggalakkan ketika ini,’’ ujarnya.

Menurutnya, selain sambutan hari raya, beliau turut menerima banyak tempahan dari jabatan kerajaan dan sektor swasta yang mengambil bahagian dalam perbarisan menyambut Hari Kebangsaan.

Di samping tempahan untuk pelanggan di Perak, Hamzah memberitahu, dia juga telah menghantar tempahan 300 songkok daripada pembeli untuk dijual di sekitar Kuala Lumpur.

Menceritakan perjalanan hidup sebelum menceburi bidang pembuatan songkok, Hamzah berkata, pada awal tahun 90-an, dia banyak merantau dengan memulakan kerjaya sebagai penjual buku-buku agama dan barang keperluan hari raya seperti songkok dan kopiah di kaki-kaki lima di Selangor dan Manjung, Perak.

Bagaimanapun, katanya, kerjaya sebagai pembuat songkok bermula apabila seorang pengurus sebuah syarikat pembuat songkok di Mak Mandin, Butterworth menemuinya dan menawarkan latihan dan pekerjaan membuat songkok dengan syarikat berkenaan.

“Saya tidak mensia-siakan peluang itu dan mengambil keputusan menjalani latihan selama hampir enam bulan di syarikat berkenaan sebelum berdikari dan membuka kedai jualan songkok dengan menyewa di pasaraya Mydin di Ipoh,” ujarnya.

Nasib menyebelahi Hamzah apabila beliau mendapat kebenaran dan kelulusan dari pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk menyewa ruang kedai di tingkat 1, Bangunan UTC.

“Di kedai inilah saya membina perniagaan sehingga ke hari ini dan kini sudah berupaya mengupah seorang pekerja bagi membantu perniagaan saya,” tambahnya.

Bagi Hamzah, prinsipnya mudah iaitu membuat songkok yang berkualiti untuk menarik pelanggan supaya ia laris dijual.


606 views0 comments

Recent Posts

See All

Rendang Lokan

Rasa Manis Semulajadi Pembuka Selera TAIPING - Rendang adalah salah satu daripada makanan tradisi masyarakat Melayu yang kebiasaannya...

bottom of page