Gabungan Pelbagai Tarikan Tawar Pelancongan Lebih Bermakna Buat Pengunjung
Senario terserempak dengan pelancong asing mundar-mandir sambil menggalas beg serta memegang peta mencari arah lokasi yang dituju merupakan perkara biasa.
Pengunjung sebegini yang kebiasaannya pelancong asing lebih gemar menjadikan lokasi yang jauh dari hiruk pikuk bandaraya metropolitan sebagai destinasi utama
Mereka yang rata-ratanya dari benua Eropah mempunyai citarasa berbeza kerana kecenderungan bukan pada kemodenan bangunan pencakar langit yang ada di negara tetapi elemen alam semulajadi, keunikan budaya serta warisan orang-orang tempatan.
Menyedari potensi eko-pelancongan dalam melonjakkan sektor pelancongan Perak, kerajaan negeri sentiasa berusaha mewujudkan produk-produk yang berasaskan alam semulajadi dan produk setempat.
Justeru, satu produk baru telah diketengahkan iaitu desa pelancongan Pasir Salak, gabungan pelbagai tarikan yang terdapat di kawasan yang sememangnya amat terkenal sebagai warisan sejarah ulung negara.
Insiden yang tidak boleh dipisahkan dengan Pasir Salak adalah pembunuhan J.W.W Birch oleh Datuk Maharaja Lela, Pandak Indut dan Si Puntum di tepi Sungai Perak, Pasir Salak pada 2 November 1875. Maka wujudlah Kompleks Sejarah Pasir Salak.
Namun di sebalik tarikan sejarah, Pasir Salak mempunyai banyak tarikan lain yang hebat sehingga boleh meninggalkan kenangan manis buat pengunjung.
Antaranya adalah aktiviti pertanian seperti ladang pokok asam gelugur yang diusahakan penduduk tempatan bagi menghasilkan asam keping selain diproses menjadi jus minuman.
Di satu tempat pula, pengunjung boleh ke ladang ternakan ikan yang hasilnya adalah untuk eksport. Difahamkan ikan air tawar ini dijual dengan harga tinggi. Selain itu ia juga menjalankan aktiviti penternakan ikan Arowana.
Walaupun kelihatan agak sunyi, kawasan ini sebenarnya hidup dengan pelbagai aktiviti agro-pelancongan. Selain ladang asam gelugur, penduduk juga mengusahakan tanaman cili merah dengan keluasan yang agak besar. Maka tidak hairanlah kawasan ini agak terkenal dengan pengeluaran sos cili.
Di bawah inisiatif Desa Pelancongan ini, kegiatan industri kecil dan sederhana (IKS) yang diusahakan penduduk turut diketengahkan.
Salah satunya adalah pembuatan dodol Bonda di Kampung Empai, Pulau Tiga.
Penghasilan dodol tidak lagi dibuat secara manual tetapi menggunakan mesin moden bagi memenuhi permintaan sepanjang masa selain dapat mengurangkan kos tenaga kerja.
“Walaupun menggunakan mesin, rasa asli dodol ini tetap kami kekalkan. Di sini dodol yang dihasilkan ada perisa durian, pandan, cempedak, pulut hitam dan juga asli. Biasanya dodol ini kami pasarkan di tempat-tempat yang sering dikunjungi pelancong. Apabila ke sini tidak sah sekiranya mereka tidak pulang dengan dodol kami,” kata Normi Ramli yang merupakan pengusaha bengkel tersebut.
Labu sayong juga merupakan satu lagi ‘buah tangan’ yang dibawa pulang oleh pelancongan. Kegiatan pembuatan labu sayong ini banyak terdapat di Kampung Pulau Tiga juga yang mana pengusahanya banyak menghasilkan rekaan terbaru mengikut citarasa semasa.
Dengan gabungan pelbagai tarikan ini, pengunjung mempunyai sebab kukuh untuk memanjangkan tempoh percutian mereka di sini berbanding hanya membuat ‘day trip’ ketika melawat Kompleks Sejarah Pasir Salak.
Banyak yang boleh dipelajari apabila berkunjung ke sini lebih-lebih lagi kepada ibubapa yang berhasrat mendedahkan anak-anak mereka warisan sejarah di samping kehidupan masyarakat kampung yang masih berlatarbelakangkan kehijauan alam semulajadi.
Baru-baru ini, nama Pasir Salak secara tiba-tiba meniti di bibir rakyat Malaysia berikutan kejayaan Khairul Idham Pawi anak Kelahiran Kampung Gajah yang menempa nama di kejohanan Moto 3 GP dunia di Argentina.
Kejayaan Khairul Idham telah mengangkat martabat litar lumba di Dato’ Sagor kerana ia merupakan tempat di mana anak muda ini berlatih sejak mula menceburi sukan lumba motosikal.
Kini, litar lumba juga tidak kurang menjadi sebutan sehingga mendorong minat orang ramai untuk melihat litar ini secara dekat.
Berikutan minat yang meningkat, mungkin litar Dato Sagor ini juga boleh dimasukkan sebagai salah satu daripada tarikan di bawah desa pelancongan Pasir Salak.