top of page
muinsapidin

Durian ‘Tukugho’

Jadi Sebutan Penggemar Raja Buah

BATU KURAU - Jenama dan penangan durian Batu Kurau seringkali meniti di bibir para penggemar raja buah itu. Namun ramai yang tidak tahu dimana letaknya keistimewaan durian Batu Kurau sehingga ia seringkali menjadi sebutan.

Pencarian Suara Perak kepada jawapan ini telah membawa kepada penemuan buah durian yang dikenali dengan nama ‘Durian Tukugho’ kalangan penduduk setempat, yang sememangnya mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Bau Durian Tukugho Lebih Kuat

Menurut seorang penduduk Kampung Pantai Besar di sini, Hambali Zolawal, 58, bau buah durian Tukugho boleh dihidu dari jauh lagi.

“Bukan bermaksud durian lain tiada bau, cuma gas bau durian di sini lebih kuat, isinya pun rasa lemak manis dan orang kata lebih puas bila makan,” ujarnya.

Hambali merupakan salah seorang pengusaha dusun buah-buahan di Batu Kurau dan sehingga kini berupaya menjadikan pekerjaan itu sebagai pendapatan utama keluarganya.

“Selalunya kalau musim durian, ramai yang cari durian Batu Kurau, sampai ada yang sanggup datang dari Kuala Lumpur dan Pahang. Di Batu Kurau ada banyak tempat pengumpulan hasil seperti di Anak Kurau, Sempeneh, Kg Perak dan Ayer Itam.

“Kelebihan buah durian Batu Kurau juga bergantung kepada keadaan buah yang tidak mudah rosak atau mangkar, kalau ada beberapa ulas yang rosak satu pangsa, ia tak jejaskan keseluruhan isi buah,” jelasnya.

Asal Nama Pantai Besar Berkongsi serba sedikit tentang sejarah Pantai Besar, Hambali memberitahu mengikut cerita dari mulut ke mulut, asal nama Pantai Besar suatu masa dahulu adalah Nenering.

“Ikut apa yang saya dengar, dulu tempat ini dipanggil Nenering, sempena nama sebatang pokok. Hendak dijadikan cerita suatu masa dulu di sini ada pantai yang luas dan ramai yang datang dari jauh untuk berkelah dan beriadah.

“Lama kelamaan lekat nama Pantai Besar sebab orang ramai asyik sebut nak ke pantai yang besar, orang dulu-dulu saja yang tahu pasal Nenering sebelum nama itu melekat dan diubah kepada Pantai Besar,” kata Hambali.

Cabaran Kutip Durian Di Dusun

Bak kata orang, pekerjaan apa yang tiada liku dan risiko, tidak ketinggalan juga buat pengusaha dusun buahbuahan, terutama yang menjadikan durian sebagai hasil tanaman utama.

Malah tinjauan ke salah sebuah dusun milik Hambali baru-baru ini membuktikan perjalanan untuk sampai ke kawasan tersebut agak mencabar.

“Sebolehnya kalau nak pergi dusun, lebih baik naik motor sebab jalan sempit dan tidak berapa sesuai untuk kereta.

Tapi kalau ada kenderaan tinggi macam 4x4, ikut jalan ini memang tiada masalah,” katanya.

Jika berpeluang ke dusun durian berkeluasan tiga ekar ini, pasti akan ternampak beberapa buah pangkin atau pondok sementara yang didirikan khas untuk pemilik pokok durian bermalam dan mengumpul hasil buah.

Beliau memberitahu, durian di tempatnya mula mengeluarkan hasil dalam bulan Jun setiap tahun dan dijangka berlanjutan sehingga bulan September depan.

“Alhamdulillah permintaan tak putus-putus. Memang kadangkala tak sempat nak dijual ke tempat lain sebab sudah penuh dengan tempahan di sini. Sebab itu agak susah sikit nak cari buah durian Batu Kurau di tempat lain,” katanya.

Durian Kunyit Jadi Buruan

Hambali mengupah dua orang pembantu untuk menjaga durian di dusunnya, yang bertanggungjawab mengutip dan mengawasi keadaan sekeliling terutama dari musuh tanaman.

“Biasanya mereka akan tinggal di dusun sepanjang tempoh buah luruh sehingga habis sekitar bulan September. Antara tugas mereka menjaga buah dari dimakan binatang seperti babi hutan dan monyet,” katanya sambil menambah, selain durian, terdapat juga petai, langsat dan dokong di dusunnya.

Mengakui tempatnya terkenal dengan durian kunyit yang mempunyai isi kuning kemerah-merahan, Hambali berkata, ia adalah durian asli, bukan durian kacukan atau durian kawin.

“Salah satu sebab mengapa durian di sini sedap ialah mungkin kerana ia sangat sesuai di kawasan yang berbukit,” jelasnya.

Faktor Durian Kurang Menjadi Dan Mahal

Hambali mendedahkan harga durian pada kali ini agak mahal berikutan pengeluaran pada musim ini agak berkurangan berbanding tahun lepas disebabkan faktor kemarau.

“Pokok durian pun memang sudah istimewa sebab itu dipanggil pokok untuk anak cucu, makan masa lama untuk jadi matang, berbunga dan akhirnya berbuah.

“Tahun ini memang kurang menjadi sebab kemarau yang panjang. Pokok durian perlukan cuaca yang agak sejuk dan tidak terlalu panas,” katanya.

Menurut Hambali, kebiasa. Beliau mengakui pemilik kebun durian menikmati jualan agak baik tahun ini berikutan buah yang kurang.

“Contohnya dua tahun lepas buah durian menjadi di semua tempat dan negeri, sehingga durian dilelong serendah RM1 selonggok,” ujarnya.

Namun begitu, kata Hambali, dengan adanya kerjasama pelbagai pihak terutama Jabatan Pertanian dan FAMA, ia memberi banyak manfaat kepada pengusaha kebun durian untuk memasarkan raja buah itu di samping mempelbagaikan produk hilirannya.


74 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page