Mencari sekeping roti canai untuk dijadikan alas perut di waktu sarapan memang mudah, terutama lambakan restoran mamak yang sememangnya sinonim dengan makanan itu. Namun, jika mahu menikmati roti canai yang enak,lembut serta kurang berminyak maka Kedai Roti Canai Pak Tam disyorkan khusus buat anda.
Terletak di lokasi strategik berhampiran Sg. Paya Bakau di Sitiawan ditambah pula dengan suasananya yang tenang berjaya menggamit ratusan pelanggan setiap hari, dan jumlahnya bertambah di hujung minggu.
Isteri kepada pengusaha kedai, Anin Hashim merupakan individu yang bertanggungjawab menguruskan perniagaan ini bersama anaknya berikutan faktor kesihatan suaminya yang dikenali sebagai Pak Tam kurang memberangsangkan.
Perniagaan yang bertahan sejak tahun 1990 ini masih mengekalkan keistimewaan dalam setiap keping roti canai, malah adunan tepung dibuat dan diuli sendiri dengan menggunakan resipi istimewa. Rasa kuih kari yang dicecah bersama roti juga seperti saling melengkapi.
"Jualan dalam satu hari boleh capai sehingga 400 ke 500 keping roti canai, merangkumi dua ke enam besen doh tepung untuk hari biasa dan tiga belas besen untuk hari Sabtu dan Ahad.
Kami kekalkan rasa yang sama sejak dahulu, mungkin ada kedai yang jual roti canai guna banyak minyak dan rasa sebenar roti sedikit hilang tenggelam dengan minyak tersebut. Jadi kami kurangkan penggunaan minyak dan bangkitkan rasa sebenar adunan roti," kata Anin.
Bilangan pekerjanya juga agak ramai iaitu tujuh orang bagi memastikan semua pelanggan mendapat layanan yang memuaskan berikutan kedai ini sering dikunjungi. Tambah menarik apabila pelanggan berbangsa Cina juga gemarkan roti canai di sini.
"Pelanggan bangsa Cina pun ramai yang datang, selain roti canai ada juga dijual nasi lemak daun pisang dan kuih muih tradisional. Kalau hari minggu memang kadang-kadang tak menang tangan. Alhamdulillah perniagaan setakat ini berjalan lancar," ujar Anin.
Faktor sampingan mengapa kedai ini menjadi tarikan adalah kewujudan deretan kedai menjual ikan, udang dan ketam segar dari laut. Sayur-sayuran juga ada dijual.
Kedai Roti Canai Pak Tam dibuka setiap hari dan tutup pada hari Jumaat. Kedudukannya berhampiran dengan dewan orang ramai dan Klinik Desa. Tidak rugi anda mencuba roti canai di sini kerana rasanya pasti berbeza dari tempat lain. Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan boleh hubungin 018-5733317.