Menjadi lumrah bagi sebilangan di antara kita yang mahu mengisi masa senggang untuk beriadah mahupun menikmati pemandangan alam semulajadi, khususnya buat individu yang seharian suntuk menghabiskan masa di tempat kerja.
Sememangnya pilihan tempat rekreasi di bandar Ipoh agak terhad dan kebiasaannya sesak dengan orang ramai. Lihat sahaja seperti di Taman Polo, Gunung Lang serta Dataran KTM. Jarang sekali kita lihat kawasan itu ‘lompong’ dengan kesesakan walaupun malam menjengah.
Nikmati Panorama Ipoh Dari Puncak
Namun begitu, anda boleh memilih untuk ‘lari’ seketika dari hiruk pikuk kesibukan di bandar raya dengan kehijauan hutan simpan kekal di Bukit Kledang yang terletak berdekatan dengan Menglembu, Ipoh. Bukit ini berketinggian 800 meter (2640 kaki).
Menariknya jika selama ini anda menjelajah pemandangan bandar Ipoh menerusi jalan raya, tapi di sini anda berpeluang melihat keseluruhan bandaraya Ipoh.
Tidak perlu mendaki sampai ke puncak untuk menikmati pemandangan ini tetapi cukup pada ketinggian 250 meter, sudah pasti terpaku juga terkesima dengan perspektif Ipoh dari bukit ini.
Lebih indah jika anda menikmati sendiri keadaan sewaktu matahari terbit ataupun terbenam, pengalamannya ternyata sukar diterjemahkan melalui kata-kata dan hanya mampu dirasai sendiri dengan mata kepala anda sendiri.
Tidak perlu bimbang jika anda tiada teman untuk berjalan dan beriadah oleh kerana ada sahaja kumpulan pejalan kaki tidak mengira usia membuat pendakian terutama di waktu awal pagi. Tidak kurang juga yang ke sini pada waktu petang sekitar jam tiga setiap hari.
Mulakan Dakian Seawal Jam Tiga Pagi
“Ada kumpulan yang aktif bersenam sudah ada di sini seawal jam tiga pagi lagi, mereka bersenam, buat aktiviti yang menyihatkan di sini. Memang waktu itu suasana masih gelap tapi mereka guna lampu suluh untuk jalan sampai ke puncak Bukit Kledang.
Saya akan ke sini, kalau tidak setiap hari mungkin dua kali seminggu dengan kawan-kawan dan suami. Tidak perlu pergi jauh-jauh sebab di sini pun sudah ada banyak kemudahan untuk orang ramai. Lagi pun suasana bukit ini memang cantik,” ujar salah seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai Mrs. Teoh.
Dia yang sudah lebih tiga puluh tahun bermastautin di Ipoh memberitahu Bukit Kledang kerap dijadikan lokasi warga emas dalam lingkungan lima puluh tahun ke atas untuk bersenam dan mengeluarkan peluh.
Lebih mengagumkan rata-rata warga emas ini masih kuat dan berstamina tinggi untuk sampai ke puncak walaupun dengan menggunakan bantuan tongkat. Semangat dan keazaman mereka untuk kekal sihat wajar diberikan pujian.
“Belum tentu orang muda yang larat macam orang-orang tua yang selalu ke sini, biasalah bila kita sudah selalu bersenam jadi sudah tiada masalah nak panjat bukit tinggi,” kata Teoh sambil tersenyum.
Cara Terbaik Temui Kenalan Berbilang Bangsa
Seorang daripada pendaki tegar Bukit Kledang yang ingin dikenali sebagai Rajan memberitahu terdapat beberapa laluan berbeza dengan jalan tar dan laluan bertangga manakala trek hutan lebih mencabar dan sesuai untuk mereka yang gemarkan aktiviti lasak.
“Semenjak pencen saya mula aktif bersenam, dah lama tinggal aktiviti macam ini. Di sini memang popular untuk beriadah, udara lebih ‘fresh’ berbanding tempat rekreasi lain.
Kebanyakannya akan daki sampai Stesen Seismologi, di situ boleh lihat keseluruhan pemandangan dari bawah. Memang cantik dan tidak kurang juga yang kayuh basikal sampai ke atas puncak,” kata Rajan yang ditemui berehat di salah sebuah pondok di kaki bukit.
Sambil menikmati keindahan, secara tidak langsung anda juga akan bertemu dengan individu lain berbilang bangsa yang cukup ramah. Malah ada di antara mereka tidak lokek untuk berkongsi pengalaman serta serba sedikit cerita tentang Bukit Kledang.
Selain itu puncak tertinggi di sini juga terletaknya menara pemancar bagi stesen televisyen, di sepanjang perjalanan juga terdapat wakaf untuk pondok orang ramai melepaskan lelah atau berehat sejenak. Di samping kemudahan senaman, air terjun, taman bunga serta refleksologi kaki.