Nama : Mustafar Rahadi
Tarikh Lahir : 19-5-1970
Asal : Felda Ijok, Selama
Pendidikan : Diploma Pengurusan
Jawatan : Ketua Pemuda PPP Perak
JIKA kemampuan dari aspek kepimpinan, Mustafar Rahadi sudah cukup diuji. Daya kepimpinannya dalam parti politik sudah berputik sejak usianya menginjak belasan tahun.
Malah, lelaki tinggi lampai yang berasal daripada Felda Ijok, Selama ini sudah beberapa kali menang bertanding mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Pemuda Parti Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) Perak.
Menceritakan mengapa dia memilih PPP berbanding parti-parti politik lain yang jauh lebih gah, jawapan Mustafar atau lebih mesra dengan panggilan Tapa, adalah ringkas - konsep 1Malaysia.
Katanya, walaupun PPP sudah wujud jauh lebih lama sebelum gagasan 1Malaysia, konsep itu sudah pun menjadi falsafah perjuangan parti tersebut sejak mula ia ditubuhkan pada 1953.
Katanya, dia memilih untuk menyertai PPP kerana konsep yang diamalkan oleh parti tersebut tepat dengan hatinya yang mahukan semua bangsa di negara ini bersatu di bawah satu bumbung.
“Ada orang kata parti pembangkang mempunyai kekuatan kerana ahlinya yang berlainan bangsa. Tapi bagi saya, Barisan Nasional (BN) juga menjunjung prinsip perjuangan pelbagai kaum dan ciri itu boleh dilihat melalui PPP,’’ katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Walaupun mengakui PPP tidak lagi sehebat pada tahun-tahun 70an ketika parti itu berjaya menguasai Perak, namun Tapa percaya perjuangan parti tersebut tetap relevan, khususnya mendepani suasana politik yang sering dibayangi sentimen perkauman.
“PPP asalnya sebuah parti yang hebat tetapi lama kelamaan ia semakin dilupakan, kadang-kadang program yang diadakan oleh parti komponen sendiri pun tidak menjemput wakil-wakil daripada PPP.
“Memang kita rasa sedikit kecewa, malah kami pernah dipelawa oleh pembangkang untuk menyertai mereka tetapi kerana perjuangan dan sayangkan BN kami tolak.
“Tapi Alhamdulillah akhir-akhir ini, khususnya di Perak, PPP nampak gayanya mula diterima dan dihargai semula. Terima kasih saya ucapkan kepada YAB Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir selaku Menteri Besar dan Pengerusi BN negeri,” katanya.
Menurut Tapa lagi, konsep berbilang kaum yang dibawa oleh PPP itu juga kini semakin mendapat tempat di hati generasi muda atau generasi Y di negeri ini, yang rata-ratanya tertarik dengan perjuangan parti tersebut.
“Generasi Y sekarang ini sangat berani dan mereka mahu menjadi pemimpin, setakat ini di Perak PPP mempunyai sejumlah 90,000 ahli dan 15,000 daripadanya adalah belia,” katanya.
Tapa memberitahu, parti itu komited untuk bersama-sama orang muda mempertahankan prinsip perjuangan pemimpin terdahulu yang mahu memastikan keamanan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini dapat terus dipertahankan.
Dalam memperjuangkan konsep parti berbilang kaum sejak penubuhannya pada 1973, anak muda ini turut memberitahu bahawa terdapat pelbagai cabaran harus diharunginya sebagai Ketua Pemuda.
Namun tegas Tapa, tidak kira apa cabaranya sekali pun, perjuangan asal PPP iaitu membantu dan bekerjasama dengan semua parti komponen BN bagi memastikan kerajaan sedia ada terus kekal memerintah, akan tetap menjadi keutamaan.
Justeru itu, dia memberitahu PPP di peringkat pemuda dan juga negeri telah pun bersiap sedia dan menjalankan kerja-kerja di peringkat akar umbi bagi menghadapai Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Selain gerak kerja seperti biasa, kita kini menfokuskan kepada misi “Family 510” iaitu pendekatan untuk memastikan setiap ahli-ahli di bawah PPP atau BN akan mengundi BN pada PRU akan datang.
“Ini bagi memastikan kesemua ahli-ahli kita dapat dijaga sebaiknya dan diberi perhatian khusus. Kerana kita tak mahu ahli sahaja ramai tetapi bila PRU mereka tidak undi BN,” jelas beliau.
Selain itu, antara langkah yang diperkenalkan oleh PPP ialah Skim Insuran Berkelompok kepada ahli-ahlinya, bertujuan membela dan memberi jaminan masa depan kepada mereka yang tidak mampu untuk mengambil insuran hayat persendirian.
Beliau memberitahu, perlindungan skim insurans dengan kadar bayaran RM15 sebulan itu dikatakan hanya boleh diguna secara eksklusif oleh ahli PPP sahaja.
“Wawasan saya adalah untuk melihat kesemua bangsa di negara ini bersatu dan terus diterajui oleh Barisan Nasional,” ujarnya.