top of page
  • muinsapidin

Iboy Warisi Bakat Kepimpinan Keluarga

NAMA : Muhamad Iqbal Jamal Jamaludin

TARIKH LAHIR : 22 Julai 1986

ASAL : Ipoh

PENDIDKAN :

SK Cator Avenue

SMK Anderson Ipoh

Diploma : Project management

Degree : Management multimedia – MMU

PENGALAMAN KERJA :

Syarikat pembinaan keluarga

Bidang perhotelan DWJ Hotel

Pegawai khas kepada Datuk Shahrul Zaman Yahaya

JABATAN PERSATUAN :

Naib Pengerusi Gerakan Belia 4B Negeri Perak

Pengerusi Gerakan Belia 4B Kawasan Ipoh Barat

Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat

KE mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Itulah perumpamaan yang sesuai untuk personaliti Pemimpin Masa Hadapan kali ini, Muhamad Iqbal Jamal Jamaludin, 29.

Dilahirkan dalam keluarga yang memang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kepimpinan pertubuhan bukan kerajaan.

Ayahnya, Datuk Wira Jamaludin Abdul Rahim atau lebih dikenali sebagai Uncle Jamal merupakan bekas Setiausaha Agung Belia 4B Malaysia yang kini menjadi Setiausaha Agung Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) dan Yang Dipertua PKMM Perak.

Abangnya, Muamaar Ghadafi kini merupakan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dan pernah menjadi calon Barisan Nasional bagi kawasan Parlimen Parit Buntar, Perak.

Walaupun mewarisi bakat kepimpinan keluarga, Iqbal yang lebih mesra dikenali sebagai Iboy mahu membuktikan bahawa dia juga mempunyai bakat pemimpinan tersendiri.

Belia perlu sertai persatuan

Belia memainkan peranan yang cukup penting dalam pembangunan negara, sekaligus memastikan kesejahteraan rakyat secara umum.

Antara langkah yang boleh diambil oleh belia dalam memastikan kelangsungan pembangunan negara berjalan rancak adalah menerusi kegiatan berpersatuan.

Bagaimanapun, hanya sekitar 20 peratus belia sahaja di negeri Perak yang berdaftar sebagai ahli dalam pelbagai persatuan belia daripada jumlah hampir satu juta belia di negeri ini.

Pemimpin masa hadapan untuk kali ini akan mengupas kepentingan belia untuk berpersatuan demi memastikan mereka diperkasa selain dapat meneruskan kelangsungan pembangunan negeri dan juga negara secara amnya.

Iboy merupakan seorang individu yang sering dikaitkan dengan aktiviti sukarelawanannya melalui persatuan Gerakan Belia 4B Perak.

Menurutnya, persatuan belia merupakan salah satu cara yang terbaik untuk mengawal golongan muda daripada terjebak daripada pelbagai kegiatan negatif.

Katanya, melalui pertubuhan belia golongan muda akan mempunyai pelbagai aktiviti yang digemari untuk mengisi waktu lapang selain program-program sukarelawan yang boleh menyumbang kepada masyrakat.

“Melalui platform persatuan, belia secara tidak langsung akan menyumbang kepada masyarakat dengan program-program yang mereka aturkan di dalam persatuan itu dan lebih menarik, program itu semuanya dirancang mengikut kehendak dan citarasa mereka sendiri tanpa melibatkan pihak lain,” ujarnya.

Tambah beliau, persatuan belia juga merupakan platform yang penting untuk menyampaikan hasrat anak muda ke peringkat atasan supaya sesuatu dasar atau tindakan kerajaan itu sendiri dapat dibentuk.

“Ianya ibarat lidi, kalau kita patahkan satu lidi itu memang senang, cuba kalau kita ambil segenggam lidi dan cuba patahkan, ianya amat mustahil.

“Jadi apa yang saya maksudnya, suara seorang belia itu agak sukar untuk didengari tetapi bila berpersatuan dan semua anggota juga bersatu, suara atau hasrat mereka itu akan lebih jelas dan kuat,” ujar beliau.

Bagaimanapun, katanya, kesedaran dan kepentingan itu nampak tidak jelas kepada kebanyakan belia masa kini kerana melalui statisik hanya 20 peratus sahaja belia yang terlibat dengan persatuan di negeri ini.

Dia memberitahu, angka yang rendah itu berpunca daripada beberapa sebab dan salah satu daripadanya adalah kekangan masa.

“Kita perlu faham, belia adalah ditarifkan golongan yang berusia 40 tahun ke bawah, jadi mungkin kebanyakan daripada mereka sudah pun mempunyai keluarga atau pekerjaan.

“Berpersatuan ini kadang-kadang memerlukan komitmen yang tinggi, oleh itu, saya percaya ia merupakan salah satu faktor yang membuatkan kurang belia yang berminat untuk menyertai,” jelasnya.

Tambahnya lagi, disebabkan perbezaan minat juga menjadi salah satu sebab mengapa belia memilih untuk tidak mempunyai persatuan.

“Tetapi saya melihat baru-baru ini belia sudah mula menubuhkan persatuan sendiri dan kepada sesiapa yang mahu adakan pertubuhan sendiri atau persatuan, boleh berdaftar di Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY),” tambah beliau.

Kesibukan bukan halangan berpersatuan

Namun bagi Iboy, kesibukan dengan tugas seharian bukanlah penghalang untuknya membantu mereka yang tidak berpersatuan.

“Pendapat saya, niat belia untuk menyertai persatuan itu adalah untuk memperkasa belia, jadi kami yang berpersatuan ini tetap akan membela rakan-rakan sebaya yang lain walaupun mereka tidak menyertai mana-mana persatuan.

“Dalam konteks itu juga, saya rasakan perlunya persatuan-persatuan di Perak bersatu kerana perjuangan kita semuanya hampir sama, daripada menjadi pesaing, lebih baik kita menjadi rakan seperjuangan,” ujarnya.

Sebagai Naib Pengerusi 4B Perak dan Pengerusi 4B Kawasan Ipoh Barat, Iboy mengakui salah satu perjuangannya ialah membantu usaha kerajaan negeri untuk mengurangkan kadar pengangguran di kalangan belia.

“Mengunakan platform sedia ada, kami sesama ahli sering berkongsi maklumat berkenaan kerja-kerja kosong yang ada di sekitar Perak.

“Kadang-kadang belia tidak mempunyai saluran ataupun maklumat yang cukup, jadi kita tolong ringankan beban mereka dengan berkongsi maklumat-maklumt pekerjaan sama ada ahli ataupun bukan,” jelasnya.


142 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page