top of page
muinsapidin

Lemang Ikan Variasi Terbaharu

ANDAI disebut makanan tradisi Melayu iaitu lemang, mungkin ramai di antara kita yang terbayangkan lemaknya pulut yang dicampur dengan santan sebelum dibakar di atas api.

Namun tahukah anda terdapat juga lemang yang menggunakan ikan sebagai bahan asasnya?

Siapa sangka lemang juga sudah melalui pelbagai variasi rasa, ada lemang tradisional, lemang jagung dan juga campuran yang diolah sesuai dengan selera masing-masing.

Pendek kata, pilihan rasa kini lebih banyak dan tidak terhad kepada satu jenis sahaja.

Mohd Jefri Abdul Malik adalah antara individu yang mahir menyediakan lemang ikan dan dia turut mengakui keistimewaan makanan ini melalui campuran bahan yang digunakan untuk menghasilkan juadah tersebut.

“Ramai orang cakap pasal lemang apabila menjelang hari raya, sama ada Aidilfitri atau Aidiladha, tapi lemang bukan hanya dibuat daripada pulut, ada juga lemang ikan bakar.

“Rasanya memang sedap, berbaloi kalau orang cuba resipi ini,” katanya ketika ditemui wakil Suara Perak baru-baru ini.

Menurut Jefri, bagi penduduk Kampung Luat, di Lenggong, memang sudah biasa dengan makanan itu kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada makanan harian orang kampung di sini.

Bagaimanapun, dia mengakui, setakat ini memang sukar untuk mendapatkannya di tempat lain kerana tidak ramai yang mengetahui mengenai lemang ikan bakar.

Ujarnya, kebiasaannya lemang ikan dimasak untuk dimakan sewaktu berkelah bersama rakan-rakan atau ahli keluarga apabila mereka masuk ke dalam hutan.

Tidak kurang juga ianya sesuai dibawa apabila hendak berburu.

“Rahsia untuk memasaknya amat mudah, boleh guna apa jua jenis ikan tetapi dengan syarat hanya ikan sungai sahaja. Jika ikan laut rasanya tidak begitu sedap, sebab ikan sungai ada rasa manis-manis sedikit,” katanya.

Cara menyediakan lemang ikan ialah pilih ikan sungai dan campur bersama ramuan lain (ikut citarasa masing-masing) untuk tambah kelazatan.

Kemudian, bahannya pula seperti cili padi, serbuk kunyit, bawang merah, asam keping (asam gelugor), daun kesum, santan kelapa, buluh lemang dan garam.

“Ada sesetengah orang risau sebab bahannya guna ikan, mungkin takut rasa dan bau hanyir, tetapi itulah gunanya daun kesum atau bunga kantan di dalam masakan ini.

“Daun-daun itu akan menghilangkan bau hanyir ikan dan membuatkannya lebih harum dan menyelerakan,” kata Jefri.

Langkah seterusnya, ikan dibersihkan dan serai diracik lalu, ditumbuk bersama cili padi, bawang merah, daun kesum dan asam keping juga diracik halus.

Kesemua bahan itu digaul dengan ikan sehingga sebati dan dimasukan ke dalam buluh untuk dibakar sehingga masak.

Sesiapa yang ingin mempelajari atau mencuba resipi ini boleh menghubungi Jefri di talian 017-4890358.


31 views0 comments

Recent Posts

See All

Rendang Lokan

Rasa Manis Semulajadi Pembuka Selera TAIPING - Rendang adalah salah satu daripada makanan tradisi masyarakat Melayu yang kebiasaannya...

bottom of page