top of page

Keindahan Cahaya Malam Kampung Dew


SETIAP kali sampai di pokok yang banyak kelipan cahaya, pelancong dari Australia minta pakcik hentikan bot kemudian dia keluarkan kayu panjang dan saukkan ke dalam air.

“Dua tiga kali jugalah dia buat macam tu sampai pakcik tertanya-tanya apa sebenarnya yang dia lakukan, rupa-rupanya bila pakcik tanya jurubahasa pelancong itu dia terangkan pelancong itu tak percaya dengan kelipan cahaya yang dihasilkan ribuan kelip-kelip di sini dan menyangka kami pasang wayar elektrik di dasar sungai,” ujar Yusuf Ishak, 63 atau panggilan mesranya Pak Wahab.

Karenah dan ragam para pelancong itu sedikit sebanyak mencuit hatinya, apatah lagi dengan anggapan segelintir orang luar yang seakan tidak percaya dengan kewujudan kelip-kelip di Kampung Dew, Taiping.

“Geli hati juga bila pakcik ingat balik apa yang pelancong Australia itu cuba buat, dia terpinga-pinga cari ada tak wayar lampu hiasan kami pasang, selepas dia datang ke sini dan tengok dengan mata kepala sendiri barulah dia puas hati,” kata Pak Wahab.

Pak Wahab merupakan salah seorang nelayan di Kampung Dew yang telah berpengalaman lebih 30 tahun dengan selok belok sungai di situ.

Dia juga bertanggungjawab membawa pelancong ke destinasi kelip-kelip, di sepanjang 12 kilometer dari jeti Kelip-Kelip Kampung Dew dengan menaiki bot.

“Kelip-kelip bergantung kepada cuaca, kalau hujan memang kurang tapi bila lepas hujan petang memang banyak di malam harinya. Kadang-kadang satu pokok Berembang nampak macam pokok berhias yang diletak lampu LED,” katanya yang juga diamanahkan memegang jawatan Pengerusi Persatuan Eko Pelancongan Kelip-Kelip Kampung Dew.

Hanya Wujud Dua Kawasan Di Malaysia

Kampung Dew sememangnya terkenal dengan aktiviti memerhati kelip-kelip di waktu malam, tambahan hanya dua tempat yang menawarkan pelancongan dan aktiviti berkaitan kelip-kelip selain di Kampung Kuantan, Kuala Selangor.

Kawasan itu terletak dalam laluan Sungai Sepetang dan menariknya kelip-kelip gemar menjadikan pokok Berembang sebagai habitatnya memandangkan keistimewaan daunnya yang sejuk hingga boleh mencecah 20 darjah celcius tanpa mengira keadaaan cuaca semasa.

Menurut Setiausaha Persatuan Eko Pelancongan Kelip-Kelip Kampung Dew, Shukor Ishak, di samping terkenal dengan kelip-kelip, terdapat juga tarikan lain seperti memerhati burung, buaya, ikan lumba-lumba, perusahaan dapur arang kayu bakau.

“Sepanjang saya berkhidmat di sini, memang sudah terbukti dan diakui sendiri oleh banyak pihak yang kelip-kelip di sini adalah yang terbaik di Malaysia.

“Kalau anda ada masa datanglah ke sini, ada pakej disediakan untuk pelancong, semuanya berbaloi dengan apa yang bakal anda saksikan.

Indahnya malam dengan kelipan cahaya di pokok Berembang, ia berkelip serentak dan dinamakan spesis kelip-kelip ‘Pteropty Tener’,” kata Shukor.

Terdapat 2,000 spesis kelip-kelip di seluruh dunia, secara amnya kelip-kelip terdiri daripada dua kumpulan utama iaitu ‘kelip-kelip yang bersendirian’ dan ‘kelip-kelip yang berkumpulan’.

Ianya adalah sejenis serangga yang dikelaskan dalam kumpulan kumbang dan mengeluarkan cahaya bio-kimia dari organ cahaya dirinya, pengeluaran cahaya itu untuk berkomunikasi bagi mendapatkan pasangan mengawan.

“Kelip-kelip jantan keluarkan dua cahaya untuk tarik perhatian pasangannya sementara kelip-kelip betina keluarkan satu cahaya sahaja,” jelas Shukor.

Daun Pokok Berembang Mampu Ubati Denggi

Siapa sangka pokok Berembang bukan sahaja berguna untuk eko-sistem kelip-kelip dan paya bakau, bahkan ia juga boleh menghasilkan pelbagai kegunaan lain seperti ulam-ulaman dan jus, yang dipercayai boleh meredakan demam denggi.

“Kami ada hasilkan jus Berembang dan hantar sampel untuk dikaji dan dapatkan kelulusan samada sesuai untuk dijual dan di pasarkan kepada orang ramai. Rasanya memang sedap, manis-manis kelat dan memang elok untuk kesihatan,” katanya.

Penduduk Kampung Dew dikatakan sudah lama mengambil daun Berembang untuk dijadikan ulam, oleh itu mereka percaya tiada masalah untuk menghasilkan banyak produk seperti sos, sabun mandi dan krim sapuan.

Daunnya juga dikatakan elok untuk mengurangkan demam panas dan penyakit denggi.

“Hospital dekat sini (Hospital Taiping) pun ada dapatkan bekalan untuk pesakit demam denggi dan mereka pun akui daun Berembang mujarab untuk hilangkan kepanasan suhu badan disebabkan daunnya yang sejuk,” dakwanya.


30 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page