top of page
  • muinsapidin

Keunikan ‘Zoo Mini’ Di Kampung Koboi


GELAGAT burung unta (ostrich) bersama kawanannya yang mundar mandir seolah-olah menyertai acara larian di sekeliling kandang sedikit sebanyak mencuit hati pengunjung di kawasan yang diibaratkan seperti ‘zoo mini’ ini.

Pernah mendapat jolokan Kampung Koboi yang kini dikenali sebagai Ladang Infoternak di Sungai Siput, memberikan peluang buat orang ramai mempelajari dan melihat sendiri jenis hidupan yang diternak di sini.

Tidak diketahui mengapa ladang ini digelar Kampung Koboi dan bagaimana ia mendapat nama,berkemungkinan dahulunya terdapat banyak hidupan yang ada di sini, termasuklah lembu dan kuda.

Namun boleh dikatakan jumlah haiwan yang dibela semakin berkurangan dan hanya sebilangan kecil masih kekal.

Mula diperkenalkan dan ditubuhkan pada tahun 1972 oleh Menteri Besar pada waktu itu serta diberi nama Pusat Latihan Ternakan Sungai Siput dan dirasmikan oleh Almarhum Sultan Idris Shah ketika tahun 1980.

Terdapat pecahan unit untuk pembangunan ternakan di sini seperti Unit Rusa, Unit Burung Unta (Ostrich), Unit Latihan Ayam & Arnab, Unit Kambing, Unit Lembu Tenusu dan Unit R&D. Masing-masing mempunyai pengkhususan dalam bidang yang berkenaan.

Kursus yang ditawarkan pula meliputi kursus Pengurusan Ternakan Kambing, Pengurusan Ternakan Lembu Pedaging, Pengurusan Ternakan Lembu Tenusu, Bioteknologi Efektif Mikroorganisma, Asas Usahawan, Pengurusan Ternakan Puyuh dan Agronomi dan Penyediaan Tanah Ragut.

Pelajari Cara Pengendalian Ternakan

Objektif utama ladang ini beoperasi adalah untuk memberi latihan dan tunjuk ajar dalam bidang ternakan dan pengeluaran makanan ternakan serta mengeluar dan mengagihkan baka-baka ternakan yang bermutu.

Di samping itu, ia turut memberi khidmat kepakaran ternakan dan pengeluaran makanan kepada penternak serta usahawan baru, juga berperanan menjadi ladang contoh kepada komoditi ternakan baharu.

Ternyata orang ramai juga boleh melihat kepelbagaian dan cara-cara operasi

mengendalikan haiwan di sini, tidak banyak tempat yang boleh dijadikan rujukan tentang perkara tersebut. Oleh kerana itu banyak lawatan dan rombongan daripada pelbagai latar belakang yang mengambil insiatif ke sini.

Pijak Telur Burung Unta Bagi yang ingin merasai pengalaman memberi makanan kepada haiwan terutama kambing dan merasa keterujaan memijak telur burung unta, boleh datang ke sini dan kakitangan Ladang Infoternak bersedia untuk menerangkan info berkaitan haiwan dan pengendalian haiwan tersebut kepada anda.

Selain diberi makanan berbentuk palet kepada kambing, anda turut berpeluang melihat bagaimana makanan kambing dihasilkan seperti rumput peram (silage), iaitu sejenis rumput yang sudah ditambah pelbagai jenis nutrien.

Tidak rugi jika anda meluangkan masa menikmati kelainan yang ditawarkan ke sini, selain menjanjikan pemandangan yang mengasyikkan dalam masa yang sama boleh mengetahui selok belok tentang penternakan haiwan serta manfaat yang mampu diperoleh darinya.


64 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page