top of page
  • muinsapidin

TAMAN EKO RIMBA KLEDANG SAIONG

Himpunan 70 Spesis Periuk Kera Serata Dunia Tarikan Utama

Siapa sangka di sebalik kerancakan pembangunan Bandar Meru Raya dengan pelbagai projek komersil ke arah menjadikannya bandar siber dan seterusnya mini Putrajaya, wujud satu taman alam semulajadi yang namanya semakin hari meniti di bibir kalangan pencinta alam.

Dengan keluasan 2,188 hektar, Taman Rimba Kledang Saiong yang mula dibangunkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak sebagai taman pelancongan hutan rimba sejak beberapa tahun lepas, dibuka secara rasminya kepada pengunjung awal tahun ini.

Terletak di tengah-tengah Bandar Meru Raya, ianya kini merupakan lokasi tumpuan bagi pencinta alam untuk menghayati keindahan flora dan fauna selain aktiviti keluarga dan kumpulan di hujung minggu seperti perkelahan dan perkhemahan.

Dengan kewujudan denai herba, denai jelajah hutan, taman rimba dan taman orkid, pengunjung berpeluang menerokai keindahan alamnya dengan berjalan sepanjang dua kilometer di sepanjang taman tersebut tanpa perlu berpenat lelah meredah hutan.

Bagi yang mengemari aktiviti mandi manda, ada beberapa rangkaian air terjun di hutan rimba ini yang terbentuk daripada Sungai Sah dan Sungai Chepor.

Kedinginan serta kejernihan airnya pasti membuatkan pengunjung rasa puas berendam dan kepada yang lebih ‘adventurous’ bolehlah juga cuba mendaki gunung setinggi 1,085 meter.

‘Hotspot’ Peminat Sukan Lasak

Selain pencinta alam, taman Rimba Kledang Saiong ini juga semakin menjadi tumpuan kalangan pengemar aktiviti sukan lasak.

Dengan permukaan semulajadi yang berbukit, berlumpur dan licin menjadikan kawasan ini laluan sesuai bagi aktiviti cabaran lasak seperti berbasikal lasak atau mountainbike.

Banyak penganjuran sukan lasak berbasikal telah diadakan di sini dan ianya akan terus menjadi trek pilihan bagi kelab basikal tersebut untuk dalam mahupun luar Perak.

Ini terbukti dengan permohonan yang tidak putus-putus diterima Jabatan Hutan bagi penganjuran program sukan lasak ini sepanjang tahun.

Taman Nepenthes (Periuk Kera) Tarikan Utama

Bagi mengenengahkan satu kelainan di taman rimba ini, Jabatan Hutan telah mewujudkan Taman Nepenthes atau lebih dikenali dengan tanaman periuk kera.

Kewujudan taman ini diibaratkan sebagai ‘bonus’ kepada pengunjung kerana ia menghimpunkan 70 spesis periuk kera dari serata dunia.

Bukan mudah untuk kita melihat keunikan tumbuhan karnivor ini memandangkan ada sesetengah spesisnya cuma boleh ditemui di Kepulauan Madagascar sehinggga ke Papua New Guinea selain di Australia Utara dan Selatan China.

Menurut Penolong Pengarah Hutan Lipur, Siti Syafiqah Yusof Taman Nepenthes di sini merupakan yang keempat di dunia selain di England, Jerman dan Australia.

“Walaupun yang keempat, uniknya di sini merupakan satu-satu tempat di mana spesis periuk kera ditanam secara semulajadi berbanding di taman tiga lagi, pokok-pokok periuk kera itu ditanam berkosepkan rumah kaca.

Ia juga dipercayai terbesar di dunia kerana menempatkan 70 spesis periuk kera yang mana 55 spesis endemik dan 15 spesis hibrid dari serata dunia,” kata Siti Syafiqah.

“Kebanyakan spesis yang kita tanam sudah tiada di habitat asalnya seperti spesis dari India dan Kalimantan,” katanya.

Menurut Siti Syafiqah Taman Nepenthes mula diusahakan pada 2014 dengan tujuan menjadikan ia kawasan pembangunan dan penyelidikan periuk kera dunia.

Beliau menambah periuk kera tidak memerlukan penjagaan yang rumit kerana ia makan serangga dengan memerangkap mangsa di dalam periuknya, lalu bekalkan nutrien kepadanya.

Namun, katanya, habitat tumbuhan ini lebih ideal dan subur jika ditanam di tanah tinggi, oleh sebab itu ada beberapa kekangan dan cabaran yang perlu dihadapi jabatannya bagi memastikan pertumbuhannya tidak terbantut.

Antara periuk kera yang berjaya ditanam seperti Nepenthes Clipeata, dikenalpasti pada tahun 1928 di Borneo. Spesis ini tumbuh di atas tanah dan direkodkan mempunyai batang yang menjalar sehingga 2m panjang.

Menurut Pengawas Hutan Lipur, Abdul Halim Mohd Ramlan spesis Clipeata adalah yang paling sukar dijaga.

“Ada jenis yang susah dan senang dijaga tengok juga pada habitat asalnya. Kadang-kadang suhu terlalu panas atau basah akan beri kesan pada pertumbuhan periuk kera.

Menariknya, Abdul Halim menambah spesis periuk kera N.Sumatrana boleh capai saiz besar sehingga ia berupaya perangkap anak tikus di dalam periuknya.

“Ramai pengunjung khususnya dari Jepun berminat untuk lihat dari dekat spesis periuk kera ini,” ujarnya.

Kecanggihan Denai Hutan Digital

Sesuai dengan peredaran zaman, Jabatan Hutan turut tidak tertinggal memastikan taman eko rimba ini dilengkapi dengan kemudahan teknologi canggih bagi memudahkan pengunjung memperolehi maklumat mengenai flora fauna yang terdapat di sini.

Dinamakan Denai Hutan Digital, pengunjung boleh membuat pengecaman terhadap 52 spesis pokok hutan dan herba menggunakan telefon pintar ketika menyusuri denai digital sejauh 1.8km ini.

Yuran Kemudahan dan Waktu Beroperasi

Waktu operasi Taman Eko Rimba Kledang Saiong dibuka dari Isnin hingga Ahad jam 8 pagi-6 petang. Tutup pada hari Jumaat pada jam 12.30 tengahari -2.30 petang

Yuran kemasukan untuk Taman Nepenthes pula, dewasa RM 5 dan pelajar sekolah RM 2.

Kemudahan tapak khemah di Taman Eko Rimba pula RM 10 (orang awam/sehari), RM 5 (pelajar/sehari), RM 10 (aktiviti berbasikal) manakala RM 200 untuk penggambaran komersil.


675 views0 comments

Recent Posts

See All

Rendang Lokan

Rasa Manis Semulajadi Pembuka Selera TAIPING - Rendang adalah salah satu daripada makanan tradisi masyarakat Melayu yang kebiasaannya disajikan ketika musim perayaan, selain dimakan bersama lemang ata

bottom of page