SIMPANG PULAI: Sebut sahaja mengenai permainan maya atau aplikasi Facebook di laman sosial pasti ramai yang menjadikannya trend dan rutin harian sehingga terlupa untuk berinteraksi dengan alam semulajadi di luar.
Kini, Pusat Rekreasi Lubuk Timah and Hotspring (PRELUT) menawarkan aktiviti lasak yang dapat menguji ketahanan fizikal dan mental khususnya buat golongan belia yang semakin khusyuk dengan alam maya hari ini di PRELUT Treetop Challenge Adventure Camp.
Nor Khalida Osman, 29 yang merupakan ustazah Mahad Tahfiz Sains Darul Muttaqin mengetahui mengenai pembukaan kem lasak tersebut melalui rakannya membuat keputusan untuk memberikan pengalaman buat anak didiknya.
Dalam sesi cabaran "Treetop" baru-baru ini, Nor Khalida berkata, tuah menyebelahi kesemua 30 pelajar dari mahaad tahfiz di Alor Star, Kedah itu kerana mereka merupakan perasmi pertama kem tersebut.
"Saya sebenarnya seorang peminat sukan lasak dan ekstrim sewaktu melanjutkan pengajian dulu, dan sebaik sahaja tamat penilaian PT3 saya terus membawa mereka ke sini untuk merasai pengalaman itu.