Kehijauan gunung ganang umpama berada di Cameron Highlands
BUKIT GANTANG - Aroma dari secangkir teh herba memenuhi ruang udara, nikmat di setiap hirupan sedikit pahit namun bertukar manis di hujung tunas rasa.
Uniknya tiada sebarang campuran gula diletakkan, cuma digantikan dengan daun stevia kering sebagai pemanis. Peluang menikmati pelbagai jenis teh berasaskan herba di Ethno Valley Resort & Homestay yang terletak di Kampung Senduk, Bukit Gantang begitu mengujakan.
Sekali imbas, pasti pengunjung menyamakannya dengan suasana di Cameron Higlands.
Namun lokasinya adalah di tanah rendah iaitu Lot 4576, Jalan Baru, Kampung Senduk, Bukit Gantang, Taiping. Daun Stevia Pengganti Gula
“Ada beza tak rasa teh yang cik minum? Kalau cik perasan ada daun tirus panjang dalam teko teh, itulah daun stevia kering yang kami guna. Bagus untuk kesihatan khususnya penghidap kencing manis,” ujar Pengarah Ethno Valley, Azizah Jaafar, 49, membuka bicara.
Sememangnya, jika berpeluang mengunjungi tempat ini tersedia beberapa jenis hidangan teh herba, khusus untuk dicuba secara percuma di sebuah ruang khas seperti kantin mini bagi aktiviti santai sambil menikmati minuman.
Suasana bak berada di Cameron Higlands
“Dah selalu sangat orang cakap kawasan di sini sama seperti Cameron Highlands, bukit bukau yang ada di sepanjang lereng dan tanaman herba pun lebih kurang sama di sana.“Apa yang membezakannya, cuma tiada kabus dingin yang menyelubungi kawasan ini seperti di tanah tinggi,” kata Azizah yang menggelarkan dirinya sebagai Kak Zah.
Usahawan wanita ini menceritakan bagaimana beliau yang dahulunya pernah memegang jawatan sebagai Penolong Akauntan selama 25 tahun di Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) terdorong untuk menceburi bidang pelancongan desa.
“Saya usahakan tempat ini sejak berkhidmat di MPKK lagi, ini bisnes keluarga, abang dan adik semua bekerjasama dalam satu kumpulan. Setelah tamat perkhidmatan saya tumpukan sepenuh usaha dan masa di sini.
“Apa pun kejayaan yang saya perolehi sekarang dalam majukan perniagaan termasuk kawasan Kampung Senduk ada kaitannya dengan dorongan serta kata-kata semangat daripada kakitangan di MPKK sebelum ini,” katanya.
Kembali Kepada Alam Semulajadi dan Herba Kampung Azizah turut menceritakan apa yang menyebabkan dia pilih herba tradisional sebagai tarikan kepada pelancongan desa yang diusahakannya.
“Sebenarnya kami lama menceburi tanaman menjual pokok herba di Sungai Buloh (Selangor) di bawah Ethno Resources Sdn Bhd sejak 2009. Daripada situ, kami cuba kembangkan perniagaan dengan membuka satu lagi cawangan di Perak (Bukit Gantang) untuk luaskan lagi galeri herba ini.
“Lebih 30 jenis pokok herba ditanam di sini seperti Tongkat Ali, Tunjuk Langit, Belalai Gajah, Misai Kucing, Daun Rerama dan tidak terkecuali buah Tin yang hidup subur di sini tetapi perlukan penjagaan yang sangat rapi “Oleh itu kami kami banyak mendapat khidmat nasihat dan rujukan daripada Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dari segi tanaman,” katanya.
Menurut Azizah di peringkat permulaan, mereka mengambil beberapa bekalan herba daripada Orang Asli dan masyarakat kampung kerana sumber tanaman yang ada masih belum mencukupi.
“Kami beli herba seperti Tongkat Ali dari Orang Asli dan tak kurang juga Misai Kucing yang ditanam oleh penduduk kampung di sini disebabkan waktu itu masih lagi belum cukup bekalan.
“Secara tak langsung kami galakkan mereka bercucuk tanam dan bantu dari segi ekonomi setempat.
“Ada tapak semaian dan pokok herba dan daripada situ kita akan buat tempat pengeringan hasilkan produk kesihatan.
Kaedah pengeringan guna oven, semulajadi (matahari) dan penghawa dingin,” ujarnya.
Pelancongan Herba Jadi Sandaran
Tidak terhad kepada tanaman herba, Ethno Valley turut menawarkan kemudahan lima belas buah chalet dan sebuah ‘homestay untuk penginapan para pengunjung, selain menyediakan tapak rekreasi, kolam ikan, kolam renang dan aktiviti tunggangan kuda padi.
“Tujuan utama kami sekeluarga adalah ingin berbalik kepada asal. Kami juga mahu memberi pilihan kepada masyarakat kerana ketika ini tertalu banyak kesihatan menggunakan bahan kimia.
“Tapi produk di sini seratus peratus semulajadi, contohnya kalau daun herba dikeringkan terus saja campur dengan air panas dan minum. Kalau dalam bentuk lain pula ia dirincik halus dan dijadikan uncang teh atau kopi,” katanya.
Cipta Lebih Banyak Pilihan Rekreasi
“Saya asal dari sini (Bukit Gantang) dan kalau boleh memang nak buat macammacam untuk menjadikan tempat kelahiran saya ini lebih dikenali. Maka saya usahakan produk pelancongan yang ada tarikan kesihatan buat pengunjung.
“Kami juga sentiasa membuat penambahbaikan. Baru-baru ini kami perkenalkan tarikan baru seperti tunggangan kuda, mungkin juga akan perkenal sukan ‘rock climbing’ berikutan ada tempat yang sesuai di belakang chalet,” katanya.
Jika anda sedang mencarimencari tempat untuk beristirehat serta membeli produk herba bolehlah berkunjung chalet ini. Kunjungan anda sudah pasti membawa ketenangan dek kehijauan pokok-pokok di sini. Sebarang pertanyaan berkaitan harga chalet, homestay, asrama dan dewan hubungi Azizah (0195796169), website www.ethnoherbs. com.my