TAPAH -Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta rakyat supaya tidak mudah lupa kejayaan besar yang telah dicapai oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) selama ini.
Katanya, ini kerana PNB merupakan sebuah organisasi pelaburan terbesar di negara ini yang mempunyai daya tahan, daya saing dan daya juang yang luar biasa, yang perlu dicontohi oleh syarikat-syarikat dan agensi kerajaan yang diberi peranan sebagai agensi amanah.
Menurut beliau, kejayaan yang dicapai PNB ini perlu dijadikan sebagai satu penanda aras yang mengikuti tata cara perniagaan yang amat berkesan.
“Kita lihat bahawa apa yang dilakukan PNB sebagai pengurus kepada saham amanah syarikat hartanah yang diwujudkan dengan lebih 200 syarikat yang merupakan ekuitinya sama ada cara majoriti atau minority, telah memperlihatkan komitmen, keikhlasan dan ketelusan yang dilakukan oleh pengurus dan profesional PNB,” katanya semasa berucap menyempurnakan majlis penutup Minggu Saham Amanah Malaysia 2016 di Stadium Tun Ahmad Sarji, di sini pada Rabu.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Presiden yang juga Ketua Eksekutif kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Menurut Zahid, sebagai sebuah organisasi gergasi, PNB pernah mengharungi pelbagai kekangan serta permasalahan dan bagaimana susah payah mereka yang menjadi perintis dalam kejayaan ini.
Katanya, PNB diwujudkan dengan hasrat untuk menyuntik semangat baru pelaburan dalam saham amanah di kalangan bumiputera.
Beliau berkata, kerajaan berhasrat melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk menstrukturkan semula masyarakat terutamanya di dalam satu perancangan jangka panjang untuk memberikan peluang kepada bumiputera di dalam pegangan ekuiti.
Zahid berkata, apabila Yayasan Pelaburan Bumiputera diwujudkan ketika itu, ia telah dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri.
Katanya, ini diikuti penglibatan jawatankuasa kabinet mengenai pelaburan yang telah menyusun program-program jangka pendek, sederhana dan panjang untuk menentukan objektif penstrukturan semula pemegangan ekuiti bumiputera dapat diterjemahkan.
Lantas dari itu, tambah beliau, kerajaan tidak menjangkakan 38 tahun kemudian dana yang pada awalnya hanya disuntik sebanyak RM200 juta kini bernilai RM268 bilion dan ia merupakan satu kejayaan yang cukup mengkagumkan.