KOTA TINGGI - Cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini sehingga menyebabkan paras air di Sungai Gambut, Tanjung Sedili, dekat sini mengering, membawa kepada penemuan 17 rangka motosikal, dipercayai dicuri.
Rangka motosikal yang dijumpai di Sungai Gambut, Tanjung Sedili, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, bertindak atas maklumat, Ketua Polis Kuala Sedili, Sarjan Mejar Md Tawal Abd Manap bersama beberapa anggota telah ke lokasi terbabit, pagi kelmarin.
Menurutnya, disebabkan paras air sungai terbabit hampir kering, beberapa rangka motosikal kelihatan tertimbus di bawah jambatan tersebut.
“Proses mengeluarkan dan memindahkan 17 rangka motosikal telah dilakukan, dan dibawa ke Balai Polis Kuala Sedili untuk siasatan lanjut.
“Pemeriksaan dan semakan mendapati, tiga rangka motosikal dilaporkan hilang pada 2012 hingga 2015 di Permas Jaya, Pasir Gudang dan Kluang,” katanya, semalam.
Rahmat berkata, 14 daripada rangka motosikal yang ditemui itu didapati nombor casisnya telah diganggu dan berkarat.
Menurutnya, polis percaya semua rangka ditemui itu adalah motosikal yang dilaporkan hilang dan cuba dilupuskan individu yang aktif dalam kegiatan mencuri motosikal.
"Siasatan lanjut masih dilakukan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.