SEREMBAN - “Bunyi letupan itu dua kali, macam rumah nak runtuh,” kata Azliawati Ahmad Khuzari, 37, yang terkejut apabila dua power bank yang diletakkan di atas sofa rumahnya meletup semalam.
Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu menyebabkan beberapa sofa di bahagian ruang tamu rumahnya di Ampangan dekat sini, rosak terbakar.
Menurutnya, dia bernasib baik kerana berada di rumah ketika kejadian itu dan sempat memadamkan api sebelum merebak.
“Kejadian itu berlaku tiba-tiba dan saya tak cas pun power bank itu, hanya letak di atas sofa sejak dari malam semalam lagi.
“Ketika sedang rehat dalam bilik, saya dengar bunyi letupan. Ingatkan tembok pagar rumah jiran runtuh, tapi bergegas bangun bila nampak api di ruang tamu dan padam menggunakan air,” katanya.
Azliawati merupakan seorang peniaga kek berkata, dia tidak pasti punca kebakaran itu dan kedua-dua power bank berkenaan baharu dibeli awal tahun lalu.
Katanya, dia masih trauma dengan kejadian terbabit dan berharap ia dapat dijadikan pengajaran buat semua.
“Entah kenapa hari ini saya berat hati nak keluar rumah, lagipun kurang sihat. Kebiasaannya saya memang akan keluar hantar kek kepada pelanggan, begitu juga dengan suami.
“Kalau kejadian ini terjadi ketika kami tiada, sudah tentu kebakaran lebih besar akan berlaku. Apa-apa pun saya bersyukur kerana semuanya selamat,” katanya.