top of page
muinsapidin

RM300,000 Lesap, Mesin ATM Diletup

JITRA - Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik sebuah bank di Pekan Jitra di sini diletupkan awal pagi tadi sebelum wang tunai dianggarkan bernilai lebih RM300,000 dilarikan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, kejadian berlaku kira-kira 5.04 minit pagi yang disyaki dilakukan dua individu memakai topeng serta menaiki kereta Toyota Camry.

Gambar Hiasan

"Suspek dipercayai menggunakan bom paip sepanjang satu kaki dengan ukur lilit lima inci serta diameter sepanjang satu setengah kaki.

"Ia dilakukan dengan cara menyelitkan bom berkenaan di tempat khas pengeluaran duit di ATM tersebut setelah mengopak bahagian atas dan bawah mesin dengan menggunakan besi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Polis turut menemui serpihan bom paip sepanjang setengah kaki dan wang tunai RM600 yang bertaburan di atas lantai.

Letupan turut menyebabkan cermin bank pecah dan retak.

Abd Rahim berkata pihak polis percaya kes itu sama dengan kes meletupkan mesin ATM sebuah bank di Simpang Kuala, Alor Setar pada Februari lepas yang turut mengakibatkan kerugian RM300,000.

Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Devi, 40-an berkata beliau mendengar bunyi letupan yang sangat kuat dari kedainya yang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

"Saya sangka orang tembak anjing. Bunyi letupan sangat kuat dan mengejutkan kami semua," katanya. - Bernama


26 views0 comments
bottom of page