PADANG BESAR - Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup pelbagai minuman keras dan rokok putih di kawasan padang golf Black Forest, Bukit Kayu Hitam, Kedah, 7 pagi semalam.
Rokok putih dan pelbagai minuman keras dirampas di kawasan padang golf Black Forest,
Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam.
Komander AKSEM Padang Besar, Bahari Ahmad berkata, AKSEM Perlis dengan kerjasama AKSEM Kedah dan Pasukan Gerak Am (PGA) Briged Tenggara telah melakukan intipan selama lapan jam selepas mendapat maklumat awam.
Menurutnya, anggota menunggu dari jam 11 malam kelmarin sehingga 7 pagi semalam untuk mengesan pemilik kenderaan tersebut.
"Hasilnya, pelbagai jenis minuman keras bernilai lebih RM286,000 dan rokok putih bernilai lebih RM175,000 dirampas.
"Turut dirampas empat kereta jenis Proton Exora, Proton Waja, Nazaria dan Kia Caren yang bernilai RM115,000, tiga daripadanya menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya.
Bahari berkata, kesemua suspek berjaya melarikan diri daripada di cekup pihak berkuasa.
Dalam pada itu, pihaknya percaya arak dan rokok itu dibeli dari kedai bebas cukai di Bukit Kayu Hitam.
"Kita juga percaya ia di seludup untuk dijual di restoran di Alor Setar, Kedah dan juga Butterworth, Pulau Pinang,” katanya.
Katanya, kes itu akan dirujuk kepada Jabatan Kastam untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, AKSEM juga mematahkan cubaan menyeludup 210 kilogram daun ketum oleh dua lelaki di Arked Niaga Padang Besar pada kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Rokok putih dan pelbagai minuman keras dirampas di kawasan padang golf
Black Forest, Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam.
"Kita telah mengekori sebuah kereta Proton Wira yang dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika keluar dari Felda Rimba Emas, Chuping, menuju ke arah sempadan.
"Hasil pemeriksaan mendapati bahagian tempat duduk belakang dan bonet kereta dipenuhi dengan 18 beg plastik hitam dan dua guni yang berisi daun ketum," katanya.