KLANG - “Abang tolonglah abang, saya takut sangat,” demikian rayuan gadis persis pelakon ‘sinetron’ dengan harapan dibebaskan selepas terlibat dalam kegiatan perjudian.
Hanya dikenali sebagai Windi, 20-an, dia antara wanita warga asing yang dicekup dan dipercayai bekerja di premis perjudian online sejak beberapa bulan lalu.
Wanita warga Indonesia menangis teresak-esak ketika serbuan
dijalankan di premis perjudian tempat dia bekerja
Gadis berkenaan turut mendakwa dirinya sudah berkahwin dengan seorang lelaki tempatan dan bekerja dengan memperoleh gaji RM1,300 sebulan.
“Mulanya suami saya tak bagi kerja di sini (premis judi), tapi saya degil nak juga kerja," katanya ketika ditahan dalam Ops Dadu, kelmarin.
Operasi seawal jam 6 petang itu turut berdepan kesukaran apabila pihak berkuasa terpaksa mengambil masa kira-kira 30 minit mengumpil pintu premis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusof Mamat berkata, serbuan yang dilakukan di dua premis di Bandar Baru Klang dan Jalan Batu Tiga Lama itu berjaya menahan seramai 23 individu berusia lingkungan 24 hingga 64 tahun yang turut membabitkan warga Vietnam dan Indonesia.
“Operasi sehingga jam 11 malam ini turut melibatkan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka.