SERDANG – Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya tersungkur ke tanah jua! Itu ungkapan paling tepat digambarkan kepada sekumpulan penjenayah yang dipercayai terlibat dengan kira-kira 25 kes kecurian motosikal di Lembah Klang.
Kumpulan dikenali sebagai Geng Black turut dianggotai seorang wanita itu tumpas selepas polis menahan dua suspek ketika menjalankan rondaan di Serdang Raya.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi Isnin lalu, gerak-geri mencurigakan dua suspek masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 30 dan 29 tahun, berhampiran sebuah motosikal yang diletakkan di depan sebuah hotel berjaya dikesan polis.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata, hasil intipan selama lebih sejam, suspek dikatakan menghampiri motosikal yang masih dilaporkan hilang di Seri Kembangan itu dan menghidupkan enjin kenderaan menggunakan kunci.
“Anggota menahan kedua-duanya dan melakukan pemeriksaan, mengejutkan apabila wanita itu mempunyai satu rekod jenayah lampau bersabit kes curi dalam bangunan,” katanya.
Hasil siasatan lanjut, polis berjaya menahan enam lelaki berusia 20 hingga 35 tahun.