SHAH ALAM – Ekoran cuaca panas dan kering kerana fenomena El-Nino yang dijangka berterusan sehingga Jun, Agensi Pengurusan Bencana Negara sentiasa bersiap bersedia bersama agensi lain di bawahnya.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zaiton Ab Samad berkata, perbincangan dengan agensi lain kerap dilakukan untuk mengambil langkah sama ada keperluan menjalankan pembenihan awan dan mencari sumber air baharu bawah tanah.
“Kita sebagai penyelaras bersama dengan agensi lain mengadakan perbincangan daripada semasa ke semasa untuk memastikan tindakan susulan dapat dilakukan terutamanya di kawasan terjejas dengan El-Nino ini.
“Kita tidak berdiam diri dan mengambil tindakan sebaiknya,” katanya.
Zaiton berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), salah satu agensi di bawahnya, telah melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) di beberapa lokasi di Perlis.
Menurutnya, dengan adanya hujan sekarang ini di beberapa negeri, kesan cuaca panas dan kering yang melanda negara dilihat tidak begitu ketara.