SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menyedari tentang kepentingan mengekang kecurian pasir kerana kegiatan jenayah itu menyebabkan kerajaan negeri kehilangan hasil melalui kutipan royalti bahan batuan.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil tindakan proaktif bagi membanteras aktiviti jenayah itu dengan mengambil beberapa langkah serta tindakan.
“Jumlah anggota di bahagian penguatkuasaan akan ditambah dengan melantik seramai 100 pembantu penguatkuasa gred N17 dan 15 penolong pegawai tanah gred NT27, khusus bagi memperkasakan penguatkuasaan tanah di setiap Pejabat Tanah dan Daerah serta Pejabat Tanah Galian Selangor,” katanya.
Beliau berkata, anggota penguatkuasaan yang baharu ini melaporkan diri pada 14 Mac lalu.
“Di samping itu, penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi kerajaan lain akan ditingkatkan antaranya polis, Jabatan Pengangkutan Jalan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Jabatan Imigresen, Jabatan Mineral Geosains dan PBT,” katanya.
Menurut Mohamed Azmin, operasi statik juga dilaksanakan di kawasan yang berulang kali berlaku kecurian pasir atau kawasan hotspot yang dikenal pasti.
“Kerjasama antara negeri juga akan diwujudkan sebagai contoh, Pejabat Tanah Daerah Selangor bekerjasama dengan Pejabat Tanah Daerah Perak dalam membendung dan membanteras penyeludupan pasir merentas sempadan negeri,” katanya.
Katanya, rondaan yang kerap dan risikan penguat kuasa juga akan dipertingkatkan di setiap pejabat tanah dan dan Pejabat Tanah Galian.
“Di samping itu, menyelaras dan menyeragamkan format dan maklumat doket pasir yang dikeluarkan pada setiap Pejabat Tanah Daerah mulai 1 Januari lalu yang mempunyai ciri keselamatan yang lebih baik,” katanya.
Mohamed Azmin berkata, kerajaan negeri juga dalam proses membangunkan sistem penggunaan doket secara elektronik E-Doket.
“Ia bagi mempertingkatkan kecekapan dan memudahkan pemantauan ketirisan royalti pasir, pelaksanaan system E-Doket ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri bagi mencapai Smart Selangor,” katanya.