KUALA LUMPUR: Sebuah lori 10 tan yang membawa muatan pasir hilang kawalan lalu merempuh 14 kereta di hadapannya di Jalan Duta petang tadi. Menurut Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP S. Markandan, kemalangan pada pukul 4.50 petang itu tidak meragut nyawa namun menyebabkan kecederaan ringan kepada semua mangsa yang terlibat.
"Pemandu lori berusia 32 tahun itu mendakwa dia hilang kawalan apabila berlaku kegagalan brek pada lori berkenaan ketika berada pada jalan yang sedikit menuruni bukit menghala ke pusat bandar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Markandan berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku di laluan lima lorong satu hala dan kenderaan yang dilanggar adalah di lorong keempat dan kelima ketika jalan sedang sesak. Katanya ketika kejadian jalan raya dalam keadaan basah selepas hujan dan lori berkenaan melanggar kenderaan di hadapannya yang bergerak ke arah yang sama.Beliau berkata lori dan semua kenderaan terlibat dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan pemandu lori berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kerana memandu dengan tidak cermat.